MACHANG - Banjir pada 2014 meninggalkan kesan yang mendalam buat empat beranak di Kampung Bakat dekat sini apabila rumah didiami mereka rosak teruk dan hampir menyembah bumi.
Rumah tersebut bukan sahaja boleh roboh bila-bila masa, malah penghuninya juga sering terjerlus ke bawah apabila terpijak papan reput dan kerap bermandikan hujan akibat bumbung bocor.
Biarpun dinding dan lantai rumah berlubang di sana sini, itulah syurga buat mereka yang menjadi tempat berlindung dari panas dan hujan.
Ketua keluarga, Suhaiza Ibrahim, 36, atau lebih dikenali sebagai Abu berkata, dia tidak mampu membaiki rumah usang milik ibu bapanya itu memandangkan tidak mempunyai pendapatan tetap dan bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi meneruskan hidup.
Katanya, dia menghadapi masalah penglihatan akibat penyakit darah tinggi dan tidak mampu melakukan kerja-kerja berat, namun tetap mengambil upah mengangkat barang jika khidmatnya diperlukan.
"Pergerakan saya banyak dibantu anak-anak. Merekalah yang pimpin saya ke mana-mana," katanya kepada Sinar Harian.
Dia ditemui ketika menerima kunjungan wakil badan bukan kerajaan, Tabung Beras 8 Asnaf Daerah Machang, Mohd Robi Osman di rumah di Kampung Bakat semalam.
Suhaiza berkata, selain dia, isterinya, Mazni Che Mod, 36, turut menghadapi masalah kesihatan dan sering berulang-alik ke hospital bagi mendapatkan rawatan.
"Hospital sudah menjadi rumah kedua baginya kerana masalah saraf dan lelah. Dia juga tidak mampu bekerja dan saya bimbang jika rumah ini tidak dibaiki dengan segera, kami akan kehilangan tempat tinggal. Rumah ini terlalu uzur dan boleh runtuh bila-bila masa.
"Anak-anak juga masih kecil dan belajar di darjah satu dan empat. Kami mengharapkan rumah yang selamat dan selesa buat mereka biarpun kecil demi kemudahan mereka belajar.
"Sehingga sekarang kami berempat berkongsi bilik sempit memandangkan kebanyakan ruang rumah ini tidak selamat digunakan," katanya.
Menurut Suhaiza, tanah yang diduduki juga milik orang, namun isterinya mempunyai tapak rumah jika ada pihak yang sudi membantu membina rumah baharu.