BATU CAVES - Ada formula menyelesaikan isu penempatan semula peniaga Pasar Selayang Baru ke bangunan pasar baharu, kata Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.
Amirudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua berkata, isu peniaga itu perkara sudah di bawah perhatiannya dan yakin masalah itu mampu diselesaikan mengikut syor-syor bersesuaian.
"Reka bentuk pasar moden ini dibuat lama sebelum jumlah peniaga bertambah. Sekarang ia perlu diubah suai mengikut kesesuaian lokaliti dan jumlah peniaga.
"Kita akan sedaya upaya memenuhkan peniaga dalam pasar moden itu. Dalam masa sama permasalahan lain juga akan diselesaikan secara berperingkat," katanya.
Katanya, pemindahan tetap perlu dilakukan memandangkan isu tersebut berlarutan hampir lebih 10 tahun.
"Ia melibatkan perjanjian antara kerajaan negeri dengan pemaju sejak 2005 melibatkan bebanan hutang, jadi jika tangguh kerajaan negeri tetap perlu membayar.
"Pemaju berjanji memberikan komitmen yang baik dan akan cuba melengkapkan keperluan sebaiknya. Jika ikutkan dah kena pindah sejak 2008 tapi kerajaan negeri dan pemaju teruskan perbincangan, sampai satu tahap peniaga tetap perlu berpindah," katanya.
Isu Pasar Selayang Baru dibangkit peniaga sejak minggu lepas sebelum membuat bantahan terbuka berkenaan pemindahan ke bangunan baharu secara terbuka hari ini.
Ia susulan rasa tidak puas hati terhadap pemilihan peniaga dam isu teknikal bangunan baharu yang perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum peniaga dipindahkan ke kawasan itu selewat-lewatnya nya hujung bulan ini.