PELABUHAN KLANG - Mayat mangsa seorang tekong tempatan ditemui di jarak kira-kira 14.2 batu nautika barat Pulau Carey dekat sini pagi tadi.
Mangsa dikenali sebagai Chua Kheng Choon, 32, dilaporkan hilang selepas bot nelayan kelas C dinaikinya bersama tiga awak-awak warga Myanmar dilanggar sebuah kapal dagang.
Pengarah Maritim negeri, Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor menerima panggilan dari pemilik bot berkenaan tentang penemuan mayat pekerjanya (tekong) oleh beberapa nelayan yang sedang memancing ikan di situ kira-kira jam 10.10 pagi.
"Sebaik menerima maklumat berkenaan, sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi penemuan.
"Mayat mangsa kemudian dibawa ke Jeti Nelayan Tongkah, Kuala Langat dengan bantuan bomba sebelum dihantar ke Hospital Banting untuk dibedah siasat," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Beliau berkata, operasi kemudian ditangguhkan pada jam 7 petang dan akan diaktifkan semula pada jam 7 pagi esok berikutan kehilangan seorang lagi awak-awak warga Myanmar yang turut dilaporkan hilang semasa kejadian.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi semalam, dua dikhuatiri hilang apabila bot nelayan tempatan kelas C dinaiki mereka mengalami kebocoran dan nyaris tenggelam selepas dilanggar sebuah kapal dagang pada jarak 8.3 batu nautika dari selatan Pulau Carey, Selangor.
Kejadian itu dilaporkan berlaku ketika mangsa keluar ke laut untuk menangkap ikan.