Bau macam bangkai khinzir...

Iklan
Yahya Abd Razid, 47, bersama beberapa penduduk menunjukkan rumah pam yang dibina menjadi punca saliran najis dari loji kumbahan tersekat sehingga menimbulkan bau amat busuk di Kampung Bukit Dato' A, Tanjung Minyak di sini.

MELAKA TENGAH - Lebih 40 buah keluarga di Kampung Bukit Dato' A, Tanjung Minyak di sini dibelenggu kegelisaan ekoran gangguan bau busuk berpunca dari mendapan najis pada rumah pam di sebatang tali air berhampiran Sungai Air Salak di sini.

Penduduk mendakwa bau yang dianggap tidak ubah umpama 'bau bangkai khinzir' itu datang daripada sisa najis yang mengalir dari sebuah loji kumbahan di Taman Rambai Utama kira-kira 300 meter dari lokasi terbabit.

Iklan
Iklan

Seorang penduduk, Yahya Abd Razid, 47, berkata, masalah tersebut dialami sejak rumah pam berkenaan dibina pada September lalu yang difahamkan bertujuan mengatasi masalah banjir kilat.

Bagaimanapun, katanya, ia memberikan masalah buat penduduk apabila menjadi penyebab sisa najis tersekat di kawasan terbabit sehingga menimbulkan bau amat busuk.

Iklan

"Rumah saya hanya terletak kira-kira 15 meter sahaja dari rumah pam ini, memanglah paling teruk mengalaminya adalah keluarga saya. Bau lagi menyengat hidung apabila lama dah tak hujan.

"Paling membimbangkan, saya bakal mengadakan majlis perkahwinan anak pada 12 Januari depan dan bau berkenaan pastinya mengganggu keselesaan tetamu yang hadir nanti," katanya ketika ditemui di lokasi terbabit di sini.

Iklan

Masalah berkenaan turut dialami kira-kira 50 ahli jemaah surau yang terletak bersebelahan rumah pam terbabit.

Pengerusi Surau Kampung Bukit Dato' A, Amran Sheikh Hussain, 52, berkata, pihaknya sudah menghubungi agensi bertanggungjawab dengan pembinaan rumah pam berkenaan namun sehingga kini belum ada sebarang maklum balas.

"Kalau lihat papan tanda pada rumah pam ini, ia di bawah tanggungjawab Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri dan saya pun sudah memaklumkan perkara ini, tetapi belum ada sebarang maklum balas.

"Seperkara lagi, mengenai pembinaan rumah pam ini, kami penduduk kampung pun tidak tahu menahu tentangnya hinggalah datang sekumpulan pekerja syarikat kontraktor pada September lalu,” katanya.

Difahamkan pembinaan itu bertujuan mengatasi banjir kilat.

"Tetapi setahu saya kawasan kami bukanlah kawasan banjir tapi yang lebih memerlukan adalah penduduk Taman Rambai Utama yang terletak di berhampir stesen minyak Petronas," katanya.

Sementara itu, Exco Industri, Perdagangan dan Pelaburan, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen yang juga Adun Kawasan Paya Rumput ketika dihubungi berharap agensi terbabit dapat mengambil langkah segera demi memastikan keselesaan penduduk.

"Saya akan memantau isu ini dan dalam masa terdekat akan mengaturkan lawatan ke lokasi berkenaan.

"Saya harap agensi berkaitan dengan pembinaan rumah pam ini dapat mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah ini," katanya.