ALOR SETAR - Persepsi negatif pelbagai pihak terhadap kerjasama UMNO-Pas memberi isyarat piagam berkenaan mempunyai impak besar dalam landskap politik negara.
Pesuruhjaya Pas Kedah, berkata, agenda utama penyatuan UMNO-Pas adalah untuk menyelamatkan Islam, bangsa dan negara.
"Perpaduan ini juga memberi jaminan memastikan tiada kaum dan agama tertindas atau dihalang," katanya ketika mengulas kenyataan Pengerusi Amanah Selangor, Izham Hashim yang menyifatkan penyatuan UMNO-Pas sebagai agenda berbahaya kepada rakyat berbilang kaum di negara ini.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pemuda Amanah, Muhammad Faiz Fadzil berkata, piagam itu disifatkan satu kerjasama tidak jujur dalam mengangkat perpaduan negara yang memainkan isu sentimen membabitkan kaum dan agama malah tidak berfungsi sebagai platform membentuk Malaysia yang lebih baik.
Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mukhriz Mahathir pula menganggap piagam UMNO-Pas sebagai tujuan politik semata-mata bagi mengalih perhatian rakyat dari masalah dihadapi dua parti itu.
Ahmad sebaliknya berkata, Mukhriz sepatutnya menyokong usaha perpaduan dua parti Melayu terbesar itu bagi memastikan kelangsungan agama, bangsa dan tanah air.
"Mukhriz tidak boleh membutakan mata terhadap kecelaruan serta caca-merba dalam kerajaan PH, malah Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri akui penguasaan DAP dalam PH,” katanya.
Menurutnya, ketika negara ditadbir PH, Islam diserang segenap penjuru, kepentingan Melayu tidak dipertahankan malah institusi Raja dan agama turut dihina.
Ahmad turut menepis dakwaan Mukhriz yang mendakwa wujudnya individu bermasalah dalam UMNO-Pas sehingga menafikan keperluan penyatuan ummah sebagai alasan naif kerana ia hanya mendedahkan kelemahan PH selaku pemerintah.
"Kuasa berada di tangan PH, hukumlah yang bersalah. Bukan meletakkan kesalahan kepada parti yang tidak lagi memerintah. Bagaimana pula dengan kes dan tuduhan melibatkan pemimpin PH yang hanya didiamkan?” soalnya.