KLANG - Seorang warga emas berusia lebih 100 tahun berkongsi amalannya setiap hari dalam menjaga kesihatan iaitu mengunyah makanan secara perlahan-lahan ketika makan nasi.
Jasmo @ Kesemurja Chok Ropaviro, 106, juga hanya makan nasi dan mengambil lauk serta sayuran dalam kuantiti yang sedikit setiap hari.
Menurut anak sulungnya, Ramalan Kasemurja, 73, demikian amalan bapanya itu yang kini sudah berusia 106 tahun tetapi cukup istimewa kerana warga emas tersebut langsung tidak menghidap sebarang penyakit kronik.
"Alhamdulilah, setakat hari ini, ayah masih sihat dan tiada penyakit seperti darah tinggi atau kencing manis,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di kediamannya di Kampung Delek Kanan, Klang.
Bagaimanapun wartawan Sinar Harian hanya dapat bertanyakan maklumat mengenai Jasmo daripada Ramalan memandangkan warga emas tersebut mengalami masalah kurang pendengaran.
"Saya lihat ayah menjaga cara pemakanan dia dengan mengamalkan petua mengunyah makanan sekurang-kurangnya 10 kali sebelum menelan makanan itu.
"Selain itu, ayah juga ada pantang dan peraturan tersendiri ketika makan. Ayah saya cuma makan dengan tangan. Dia tidak akan menggunakan sudu. Biasanya dia mengambil hidangan yang berdekatan dengan pinggan nasi miliknya terlebih dahulu. Bagi ayah, simboliknya rezeki perlu bermula dengan mengambil sesuatu paling dekat,” katanya.
Menurut Ramalan, dia percaya usia sebenar bapanya berkemungkinan sudah lebih 120 tahun jika dihayati berdasarkan pengalaman warga emas tersebut.
Katanya, warga emas berkenaan pernah bekerja sebagai pemetik daun teh di Cameron Highlands pada 1947 dan usianya dalam lingkungan 40 tahun ketika mengahwini arwah ibunya, Kamina Amat Yosof.
Menurut Ramalan, arwah ibunya meninggal dunia akibat sakit tua sebelum Aidiladha lalu benar-benar meninggalkan kesan kepada ayahnya.
"Sehingga sekarang, ayah seolah-olah tidak menyedari arwah mak sudah meninggal dunia. Bagi ayah, arwah mak tiada di sisinya kerana mengunjungi rumah adik-beradik saya yang lain,” katanya.
Kata Ramalan, kini ayahnya berseorangan meneruskan usia tua selepas lebih 70 tahun tidak pernah berenggang dengan arwah ibunya.
Hasil perkahwinan lebih sedekad itu mereka memiliki 13 orang anak, hampir 50 cucu dan 45 cicit.
"Kebiasaannya selepas solat Isyak kedua-duanya akan mengaji al-Quran. Kini ayah saya keseorangan meniti usia tuanya.
"Namun saya tetap bersyukur kerana kesihatan ayah masih baik cuma ada sedikit masalah saraf akibat faktor usia tua,” katanya.