Bomba tangkap keli, lepas ni apa lagi...

Iklan

APA reaksi pertama anda apabila membaca berita tentang individu meminta khidmat bomba dan penyelamat untuk menangkap ikan keli, cacing, lipan atau tikus.Penulis percaya, majoriti daripada kita akan tertawa sambil menggeleng kepala ketika membaca berita itu.

Kemudian warganet akan mula melontarkan komen di media sosial, menjadi bahan lawak sehingga ada yang memberi tohmahan kepada yang meminta bantuan itu.

Iklan
Iklan

Ini kerana majoriti kita menganggap perkara itu sesuatu yang tidak logik. Hanya kerana ingin menyingkirkan haiwan kecil dari rumah kenapa sehingga perlu meminta bantuan sepasukan anggota bomba dan penyelamat?

Namun, bagi pasukan keselamatan itu memberi bantuan kemanusiaan seperti itu bukan satu perkara membebankan malah mereka melakukannya dengan penuh profesional.

Iklan

Penulis baru-baru ini, berkesempatan menemu bual Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Mohammad Hamdan Wahid dan tidak melepaskan peluang bertanyakan tentang perkara itu.

Menurut beliau, jika menerima laporan mengatakan ada nyawa terancam termasuk haiwan tidak salah untuk bomba memberi respons.

Iklan

"Pada bomba, sekiranya sampai pada masa yang diharapkan (oleh pemanggil) dan kita beri khidmat yang sepatutnya maka tidak timbul persoalan logik atau tidak walaupun perkara itu akhirnya menjadi pertikaian masyarakat.

"Namun sekiranya panggilan tersebut seperti tertinggal kunci dalam kereta atau pintu rumah gagal dibuka, keutamaan bomba adalah mendahulukan kepada kes yang mengancam nyawa. Jika tiada pertindihan panggilan seperti itu, sudah pasti bomba akan bantu.

"Ini kerana, perkhidmatan bomba melangkaui aspek keselamatan, ia merangkumi perkara yang mensejahterakan masyarakat,” katanya.

Mohammad Hamdan menambah, bomba sebenarnya sangat rapat dengan masyarakat dan mereka berpandangan tugas kemanusiaan adalah peluang untuk pengembangan tugasan kebombaan.

"Bomba menawarkan khidmat menyelamat yang agensi lain tak sediakan. Walaupun pada awalnya tidak ada dalam skop penugasan, tapi kita cari ruang, kita bina kemahiran dan akhirnya kita buat.

"Potong cincin, tangkap ular, ikan keli, buka pintu terkunci dan lain-lain khidmat kemanusiaan kami anggap sebagai latihan di lapangan bagi mengasah lagi kepakaran anggota,” katanya.Yang jelas, kita semua sedia maklum apa sahaja kerja menyelamat daripada yang kecil sehinggalah dalam situasi bencana pasti dapat digalas tanpa gentar oleh bomba.

Kebakaran, kemalangan jalan raya atau ketika mendaki gunung, banjir, tanah atau bangunan runtuh, pencemaran toksik sekalipun bomba tidak berundur tatkala semua orang meninggalkan kawasan bencana.

Bomba juga mengambil tanggungjawab melatih masyarakat tentang ilmu kebombaan seperti cara memadam api dapur, menggunakan alat pemadam api dan sebagainya.

Penulis sendiri pernah mengikuti kursus Skuad Bomba Media anjuran JBPM Negeri Sembilan tiga tahun lalu.Pelbagai ilmu diperoleh, namun ketika itu mesin simulator kebakaran sedang diselenggara, jika tidak pasti penulis dan rakan-rakan berpeluang merasai sedikit pengalaman bagaimana bomba melawan api yang marak menjulang tinggi.

Jasa anggota bomba dan penyelamat di Malaysia ini terlalu banyak, tak mampu kita membalasnya. Tetapi kita masih ada cara untuk berbuat baik kepada mereka antaranya jangan buat panggilan palsu, jaga dan pastikan pili bomba berhampiran rumah atau pejabat berada dalam keadaan baik, tidak parkir kenderaan di kawasan pili bomba dan like laman Facebook Friends of Bomba Malaysia.

Ada banyak informasi kebombaan yang boleh kita manfaatkan.

Pembaca juga dinasihatkan agar menyimpan nombor telefon balai bomba dan penyelamat berhampiran rumah agar mudah dihubungi dan mendapat respons pantas daripada pasukan berceloreng merah hitam itu apabila kita membuat panggilan kecemasan.

Terima kasih bomba atas segala khidmat bakti yang dicurah.

Al-Fatihah kepada wira merah yang terkorban dalam tugas dan kepada wira merah yang masih berjuang semoga ALLAH memudahkan urusan mereka sama ada dalam tugasan mahupun dalam kehidupan harian.

Potong cincin, tangkap ular, ikan keli, buka pintu terkunci dan lain-lain khidmat kemanusiaan kami anggap sebagai latihan di lapangan bagi mengasah lagi kepakaran anggota.”* Nurul Atiq Ahmad Bandi ialah Wartawan Meja Jenayah Sinar Harian