[DIKEMASKINI] APABILA Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, orang Melayu masih lagi malas bekerja dan rela menyerahkan segala kerja kepada bangsa asing, ramai melenting.
Merak Jalanan sebenarnya rasa pelik, kenapa setiap kali ditegur, semua rasa panik, semua rasa marah dan pelbagai kecaman diberikan.
Percayalah, teguran Dr Mahathir itu untuk golongan yang masih ‘lena’ dalam zon selesa tanpa mereka sedar keselesaan itu tidak akan kekal lama.
Jika tidak percaya, tak usah lihat jauh. Tengok saja di pejabat atau komuniti kita sendiri.
Apabila ada rakan kita mendapat kepercayaan pihak syarikat untuk mengetuai satu unit, pasti ada suara-suara sumbang yang akan mempersoalkan lantikan itu dan mula berkempen memburukkan rakan sendiri.
"Layak ke dia dapat pangkat itu? Dia itu pernah dikenakan tindakan tatatertib.
”Sebenarnya, apabila pihak syarikat mengenakan tindakan tatatertib terhadap seseorang pekerja, ia adalah satu hukuman terhadap kesalahan yang dilakukan pada ketika itu dan ia merupakan peluang untuk pekerja itu berubah menjadi lebih baik.
Proses penilaian terhadap setiap pekerja akan dilakukan secara adil dan rasional.Sebenarnya, sedar atau tidak kekuatan orang Melayu terserlah bila mula ditekan. Lihat sahaja apabila kumpulan-kumpulan tertentu melancarkan kempen beli produk Muslim/halal.
Siapa sangka rupanya ramai usahawan yang mempunyai produk berkualiti dan enak.
Ini bukti Melayu tidak malas!
Kita buktikan kata-kata Dr Mahathir itu satu penanda aras untuk jadi bangsa yang boleh dibanggakan.