KLANG - Seorang penunggang motosikal maut selepas terlibat kemalangan dengan enam buah kenderaan di Kilometer 22.9 Lebuhraya Kesas di sini awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, dalam kejadian kira-kira jam 1.45 pagi, mangsa Muhammad Azim Faimin,27, disahkan meninggal dunia di lokasi.
Menurutnya, kemalangan membabitkan lima buah motosikal iaitu dua jenis Yamaha Lagenda 115, LC135. Y15ZR dan Lagenda 110 serta dua buah kereta jenis Perodua Myvi dan Mercedes Benz CLS 350.
"Siasatan mendapati semasa Perodua Myvi dipandu seorang lelaki berusia 21 tahun dari arah Bukit Tinggi menghala ke Jalan Kebun melanggar Mercedes tersebut menyebabkan Perodua Myvi itu berpusing.
"Kejadian itu juga menyebabkan lima buah motosikal yang datang dari arah belakang terbabas ketika melalui serpihan kemalangan kereta itu," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.
Shamsul Amar berkata, kemalangan itu menyebabkan mangsa parah dan maut di lokasi kejadian, manakala empat penunggang lain cedera dan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.
Katanya, pemandu Perodua Myvi itu kemudian hadir ke Balai Trafik Klang untuk buat laporan, manakala usaha mengesan pemandu Mercedes tersebut sedang giat dijalankan.
"Kesemua kenderaan dibawa ke Balai Trafik Klang untuk siasatan lanjut kes di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.