MENJELANG 10 Muharram 1441H ini pasti akan kedengaran laungan ya Hussain ya Hussain ya Hussain daripada golongan pentaksub lagi tercela.
Ia tidak lain tidak bukan laungan golongan Syiah yang bercanggah dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) lantaran ketaksuban mereka terhadap Hussain yang melampau sehingga mengkafirkan sahabat dan ahli keluarga Rasulullah SAW seperti Zubair al-Awwam RA, Talhah RA dan Aishah RA.
Mereka juga memfitnah Yazid bin Muawiyah sebagai pembunuh Hussain RA di Karbala sedangkan para ulamak menafikannya seperti Imam Ibnu Kathir, Ibnu al-Solah dan Ibnu Taimiyah.
Hussain bin Ali RA merupakan cucu Rasulullah SAW melalui Fatimah RA. Beliau dilahirkan pada tahun ke-4 hijrah dan meninggal pada tahun 61 hijrah dalam peristiwa Karbala.
Semuanya berpunca daripada sikap ketamakan harta dan kuasa dalam hati golongan munafik yang mengambil kesempatan dalam konflik yang berlaku antara Hussain RA dan Yazid yang merupakan khalifah pada ketika itu.
Gabenor Iraq iaitu Ubaidullah bin Ziyad yang menjadi dalang pembunuhan kejam ini seperti yang diceritakan oleh Anas bin Malik RA antaranya menyebut,"Kepala Hussain dipancung dan dibawa kepada Ubaidullah, lalu dia menusuk-nusuk kepala Hussain dengan pedangnya...” (HR al-Bukhari).
Bermula dari tarikh itulah golongan Syiah bersedih atas kematian Hussain RA dengan melaknat dan mengkafirkan sesiapa sahaja yang berselisih dan berbeza pendapat dengan Hussain seperti Abu Bakar al-Siddiq RA, Umar al-Khattab RA, Uthman al-Affan, Muawiyah bin Abu Sufian dan golongan yang bercanggah dengan Ali bin Abu Talib RA sehingga tercetus perang Jamal dan Siffin.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud,"Hussain daripada aku dan aku daripada Hussain, ALLAH mencintai siapa yang mencintai Hussain” (HR al-Tirmizi). Kecintaan kita kepada Hussain satu perintah Rasulullah SAW, namun kecintaan itu bukanlah hujah untuk melaknat para sahabat mulia yang lain.
Sesungguh ALLAH SWT telah memerintahkan kita untuk memuliakan semua ahli keluarga Rasulullah SAW melalui penegasan-Nya di dalam al-Quran yang bermaksud,"Hanya kerana ALLAH mahu menghapuskan perkara keji dan membersihkan kamu (dari segala perkara yang kotor)” (al-Ahzab: 33).
Bukan keluarga Hussain bin Ali sahaja yang mencintai Rasulullah SAW tetapi semua sahabat mencintai Baginda, sebagai contoh Umar al-Khattab berkahwin dengan Ummu Kalthum binti Ali (cucu Baginda) dan beliau mengahwini Hafsah RA dengan Baginda, Abu Bakar al-Siddiq mengahwini Aisyah RA dengan Baginda, Uthman al-Affan berkahwin dengan dua orang puteri Baginda iaitu Ruqayyah dengan Ummu Kalthum.
Oleh itu, kita dilarang sama sekali percaya dengan cerita palsu yang mencemarkan nama dan kedudukan sahabat Rasulullah SAW ini kerana Baginda memuliakan semua sahabatnya, maka kita wajib memuliakan mereka seperti Baginda memuliakan mereka.
Tiada masalah untuk kita berbeza pendapat, namun jangan sampai kita melemparkan fitnah kepada para sahabat Rasulullah SAW. Para sahabat tinggi kedudukan mereka di sisi ALLAH dan Rasul, maka kita bukanlah yang selayaknya mengkritik dan menjadi penghukum, nauzubillahi min zalik.
Inilah adab yang mesti ada dalam diri mukmin seperti firman ALLAH SWT,"Mengapa ketika mendengar berita bohong itu kamu tidak bersangka baik dan berkata – ini pembohongan yang nyata!” (al-Nur: 12).
Sesungguhnya inilah perancangan munafik yang mendapat bantuan daripada Yahudi untuk merosakkan persaudaraan sesama Muslim bahkan ia akan berterusan sehingga hari kiamat.
Ia bukan perkara baharu, sebaliknya bermula secara jelas apabila pembunuhan Uthman al-Affan oleh Abdullah bin Saba yang selepas itu dialah yang bertanggungjawab mencetuskan konflik dan fitnah yang tidak berkesudahan terhadap golongan sahabat sehingga membawa kepada kewujudan Syiah pertama yang dikenali sebagai Syiah Sabaiyyah.
Selain itu, peperangan demi peperangan dalam sejarah umat Islam juga berlaku kerana sikap golongan munafik yang tamakkan harta, pangkat dan kedudukan.
Hari ini kita dapat melihat gelagat golongan munafik yang merosakkan umat Islam melalui proksi politik, ekonomi, pendidikan dan pemikiran.
Mereka berpakaian seperti kita, bercakap dengan bahasa kita, senyuman manis meniti di bibir, gaya penampilan yang tawaduk sedangkan dalam hati mereka menyimpan dendam lama untuk membunuh setiap jiwa Islam yang ingin bersatu demi agama ALLAH SWT.
Semoga peristiwa pembunuhan cucu Rasulullah SAW ini menjadi sirah penting dalam kehidupan kita untuk menjadi umat yang menyintai diri Rasulullah, ahli keluarga dan para sahabat Baginda yang mulia.
Bukan ia menjadi tarikh untuk melaknat atau menghina manusia yang telahpun dimuliakan oleh ALLAH dan Rasul. Akhirnya laknat dan hina itu akan menimpa diri kita!
***Fahimi Zakaria merupakan pensyarah Bahasa Arab di Centre for Fundamental Studies, Management and Science University (MSU)