KUANTAN- Seorang pekerja bengkel terpaksa membuat laporan polis semalam selepas pemilik kenderaan pacuan empat roda yang dibelinya enggan melepaskan kenderaan tersebut walaupun bayaran sudah dibuat.
Pemilik kenderaan jenis Toyota Hilux itu memberi pelbagai alasan dan turut menggertak mangsa akan berdepan geng kongsi gelap jika menuntut semula wang RM17,060 yang sudah dibayar untuk kenderaan tersebut.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa berusia 37 tahun dari daerah ini berminat untuk membeli kenderaan tersebut yang diiklankan melalui Facebook selepas melayari laman sosial itu 14 Ogos lalu.
"Mangsa berurusan dengan penjualnya dan bersetuju untuk membeli kenderaan tersebut pada harga RM20,000 seperti yang ditawarkan. Sebagai tanda jadi, mangsa membuat bayaran pendahuluan RM250 melalui dua transaksi.
"Bayaran dibuat melalui mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sebuah bank di Jalan Beserah di sini sebelum membuat bayaran seterusnya sebanyak RM2,000 melalui perbankan Internet," katanya.
Menurutnya, selepas membuat bayaran pendahuluan, mangsa menghubungi suspek dan dimaklumkan kenderaan itu dalam proses untuk diserahkan.
"Sebelum kenderaan itu diserahkan, mangsa diminta membuat bayaran penuh dan dia berbuat demikian sehingga 21 Ogos lalu dengan bayaran keseluruhan RM17,060”, katanya.
Mohd Wazir berkata, selepas bayaran dibuat, mangsa menghubungi suspek untuk bertanya tentang proses penyerahan kenderaan yang dibelinya itu namun dimaklumkan masih dalam proses.
"Tidak puas hati dengan jawapan suspek, mangsa meminta bantuan rakan untuk mencari lelaki itu dan berjaya menemuinya di Tersang, Raub.
"Mangsa berbincang tentang proses jual beli kenderaan itu namun suspek terus membeli alasan tentang kenderaan tersebut selain menggertak mangsa dengan ancaman geng kongsi gelap jika menuntut semua wangnya”, katanya.
Katanya, mangsa membuat laporan polis kerana tidak puas hati dengan tindakan suspek selain berasa tertipu dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.