KUALA LUMPUR - Tindakan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil memuat naik status di Twitter tentang sebuah kereta uzur di jalan raya menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan netizen.
Status pada jam 3.27 petang semalam memaparkan sebuah Proton Wira dalam keadaan kemek pada bahagian belakang kereta itu disertakan tulisan 'A. kereta ni macam kereta perang', 'B. cukup sifat ni' dan 'C.ni bukan cukup sifat, ni cukup syarat je ni'.
Sebaik status itu dimuat naik, ia mendapat pelbagai kecaman dalam kalangan netizen yang menganggap gurauan itu tidak sesuai dengan statusnya sebagai seorang wakil rakyat.
"Dah tua bangka dah jadi YB (Yang Berhormat) pun tak reti beza mana lawak mana menghina," tulis Uncle Farah.
"Kamu sekarang diberikan rezeki menjadi seorang MP (Ahli Parlimen), janganlah didustakan nikmat yang dikurniakan. Cepatnya takbur," komen Mohd Tariq.
Seorang lagi pengguna Twitter, Riza Tan turut meninggalkan komen mendakwa pemilik kereta itu adalah rakannya yang bekerja sebagai penghantar Grab Foo dan menjaga orang tuanya.
Selepas mendapat reaksi negatif dalam kalangan netizen, Fahmi memadamkan status tersebut disusuli dengan permohonan maaf beberapa jam kemudian.
"Petang tadi saya telah tulis satu Tweet mengenai keadaan sebuah kereta yang saya temui. Setelah meneliti maklum balas dan komen-komen warganet, dan setelah muhasabah dan berfikir panjang, saya akui Tweet tersebut tidak patut ditulis dan ingin memohon maaf. Seharusnya saya lebih sensitif," tulisnya 12 jam lalu.
Tidak tamat di situ, beberapa pengguna Twitter mencadangkan supaya Fahmi bertemu pemilik kereta berkenaan membuat permohonan maaf dan membantu apa yang perlu.
"Pergi cari pemilik kereta tersebut, jelaskan tindakan kamu dan minta maaf kepada pemilik kereta," Julia Kama Jasni Eman.
"Minta maaf mungkin tak cukup nak perbaiki hati yang dah terguris. Apa kata YB pergi jumpa tuan punya kereta yang YB bahan, sedekahkan wang untuk beliau baiki kereta tu. Atau lebih baik bawa kereta itu ke bengkel untuk baiki. Pastikan kereta itu dibaiki sepenuhnya," cadang Amir Rahim.
Sinar Harian sedang mendapatkan maklum balas daripada Fahmi berkenaan perkara itu, maklumat akan dikemaskini dalam masa terdekat.