CAMERON HIGHLANDS - Kerajaan Pahang mengambil langkah segera agar pencerobohan di kawasan tadahan air Kuala Terla khususnya Sungai Ichat di Cameron Highlands dihentikan.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri menjunjung kasih atas titah saranan Yang di-Pertuan Agong supaya pencerobohan di kawasan tadahan air Kuala Terla khususnya Sungai Ichat di sini dihentikan.
Menurutnya, pencerobohan kawasan tadahan air Kuala Terla memang punca kepada pencemaran teruk khususnya di Sungai Ichat sehingga menyebabkan sumber air dari sungai tersebut tidak boleh digunakan dan disalurkan ke Loji Rawatan Air (LRA) Kuala Terla untuk diproses menjadi air terawat.
"Ini menyebabkan LRA Kuala Terla yang berkapasiti sebenar antara 780 meter padu sejam dan 800 meter padu sejam bagi menampung 70 peratus keperluan air terawat di kawasan tanah tinggi itu, hanya bergantung sumber airnya kepada satu lagi punca di situ iaitu Sungai Terla.
"Namun, Sungai Terla pun kini semakin berkurangan sumber airnya menyebabkan LRA Kuala Terla terpaksa memproses air di bawah kapasiti sebenar dengan hanya dapat menjana air terawat antara 480 meter padu sejam dan 550 meter padu sejam," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Wan Rosdy berkata, kerajaan Pahang menyanjung tinggi lawatan Seri Paduka baginda yang berkenan mencemar duli melawat tinjau ke tapak pencerobohan kawasan terlibat kelmarin.
Jelasnya, di sebalik perkara tersebut dimaklumkan kepada para petani namun segelintir daripadanya menafikan hakikat dengan menidakkan kepentingan Sungai Ichat sebagai sumber air yang diperlukan untuk pemprosesan oleh LRA Kuala Terla.
"Oleh sebab itulah, dalam pada kerja-kerja penguatkuasaan dijalankan pada lewat Februari hingga awal April lepas (2019) dengan merobohkan struktur dan tanaman di kawasan tanah yang diceroboh.
"Usaha-usaha turut dijalankan bagi membersihkan kembali kawasan yang tercemar teruk di Sungai Ichat agar sumber air mentahnya kembali bersih lalu dapat disalurkan ke LRA Kuala Terla untuk diproses," katanya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu terdapat segelintir petani berkenaan telahpun memfailkan injunksi di Mahkamah Tinggi Kuantan pada 3 April lepas, yang mengarahkan penangguhan sementara operasi penguatkuasaan tersebut yang semestinya kerajaan negeri akur.