IPOH - Exco Komunikasi, Multimedia dan NGO Perak menjadi mangsa buli siber apabila seorang pengguna media sosial memuat naik karikatur menghinanya dengan muka beliau disunting seperti badut.
Bagaimanapun, karikatur berkenaan akhirnya dipadamkan pengguna terbabit tidak sampai dua minit selepas Exco berkenaan, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim memberi amaran kepada pihak terbabit untuk melaporkan tindakan menghina itu kepada polis.
Menurutnya, tindakan membuat karikatur menghina wajah seperti itu disifatkan keterlaluan kerana mempunyai niat untuk memalukan.
"Saya ingin mengingatkan mana-mana individu agar berhati-hati mengeluarkan sebarang komen. Jangan sampai menghina tidak kira sama ada rakyat biasa mahu pun pemimpin.
"Kita harus menjunjung tinggi Rukun Negara yang menekan kesusilaan sebagai rakyat Malaysia.
"Jangan biarkan unsur negatif meresap dalam jiwa masyarakat kita.
"Amalkan budaya hidup hormat-menghormati antara satu sama lain," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Pada asalnya, komen yang disertakan dengan karikatur menghina tersebut dibuat ke atas satu hantaran Hasnul Zulkarnain di akaun Facebooknya mengenai program yang dihadiri membabitkan Naib Ketua Pemuda UMNO Perak.
Bagaimanapun selepas Hasnul Zulkarnain memberi amaran akan membuat laporan polis, hanya karikatur tersebut dipadam, manakala komen yang dibuat dalam hantaran itu dikekalkan oleh individu berkenaan.
Tidak lama selepas itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong itu memuat naik tangkap layar berkaitan komen tersebut dengan menasihati orang ramai supaya berhati-hati memberikan komen.
Dalam hantaran tersebut, netizen meminta supaya laporan polis terus dibuat walaupun karikatur tersebut dipadamkan untuk memberi pengajaran kepada semua pihak agar tidak bertindak melampaui batas.
Hasnul Zulkarnain bagaimanapun berkata, pihaknya tidak akan membuat laporan polis dan menganggap perkara itu selesai.