CENGKAMAN pasukan Motul Yamaha YY Pang Racing pada Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas 2019 semakin kukuh apabila pelumba utamanya, Tengku Amirul Haffirudin yang muncul juara perlumbaan akhir kelas CP150, Pusingan 6 di Teluk Intan, Perak semalam.
Tengku Amirul Haffirudin menamatkan perlumbaan 12 pusingan dengan catatan masa terpantas 10 minit 34.956 saat (s) meninggalkan rakan sepasukannya, Md Azhar Abd Jalil di tempat ketiga dengan masa 10:38.974s.
Tempat kedua menjadi milik Md Helmi Azman daripada Hi Rev SCK Honda Racing dengan masa terpantas 10:36.206s.
Amirul yang melakukan catatan masa terpantas pada sesi kelayakan kelmarin telah mengotakan janjinya untuk meneruskan momentum cemerlangnya itu pada perlumbaan sebenar semalam sekali gus meraih kemenangan sulungnya musim ini.
"Kemenangan ini sangat bermakna buat saya selepas gagal untuk melakukannya di tempat sendiri pada Pusingan 5 (di Terengganu) dua minggu lalu.
"Kali ini, saya berjaya mengatasi kekecewaan itu dan terima kasih kepada krew pasukan yang telah menyediakan jentera terbaik buat saya.
"Saya telah memaksimumkan kemampuan jentera dan ia tetap stabil sehingga tamat perlumbaan. Saya juga mengambil langkah berhati-hati kerana saya tahu bakal berdepan tentangan sengit daripada Ahmad Afif Amran (Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing),” jelas Amirul.
Afif yang gagal menamatkan perlumbaan selepas terjatuh, kekal mendahului kedudukan keseluruhan dengan 94 mata diikuti rapat oleh Azroy Hakeem Anuar (Idemitsu Honda Yuzy Racing) yang mengumpul 88 mata walaupun sekadar menamatkan saingan di tempat kelapan semalam.
Manakala Amirul yang muncul juara pada perlumbaan itu menghuni kedudukan ketiga keseluruhan setelah mengutip 61 mata selepas mengharungi enam perlumbaan.