BINTANG seni bela diri campuran (MMA), Jihin Radzuan berjaya menebus kekalahan Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018 sekali gus menepis dakwaan sesetengah pihak tentang kegagalannya meraih emas dalam sukan muay thai pada kejohanan itu.
Pada kejohanan EduCity Kombat League (EKL) 2018, di Stadium Educity, di sini, malam tadi, Jihin muncul juara dan membawa pulang tali pinggang 'EduCity Belt' selepas menewaskan Nur Syamira Ramlan.
Jihin atau 'The Shadow Cat' yang mewakili Johor pada Sukma 2018 sekadar membawa pulang pingat gangsa manakala Nur Syamira dari Kedah meraih emas.
"Semasa Sukma, saya dapat gangsa atas sebab-sebab tertentu, jadi perlawanan ini (EKL) sangat bermakna dan saya kalah (Sukma) ada sebab.
"Sebab ada orang kata, Jihin walaupun main di peringkat antarabangsa tetapi tetap kalah dalam Sukma, jadi perlawanan ini adalah bukti bahawa apa yang mereka kata adalah tidak betul," katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan itu.
Menurut Jihin, EKL 2018 merupakan perlawanan penutup pada tahun ini dan beliau akan melakukan persediaan bagi menghadapi Big Martial Art dalam One Championship, di Bangkok, Thailand, Februari depan.
"Itu adalah perlawanan awal tahun hadapan dan banyak lagi yang akan datang," katanya.
EKL 2018 anjuran EduCity Iskandar Malaysia Sdn Bhd dengan kerjasama Booxxtomoi disertai 16 petinju profesional negara dan luar negara termasuk Perancis, Thailand, Palestin, Singapura dan Iran bagi merebut dua tali pinggang 'Edu City Belt' dan 'Iskandar Puteri Mayor Belt'.
Don Sulaiman, atlet MMA dari Palestin muncul juara selepas menewaskan pemenang pingat emas muay thai, Sukma 2018, Amirul Abe Long dan membawa pulang tali pinggang 'Iskandar Puteri Mayor Belt'.- Bernama.