GUA MUSANG - Anak orang asli suku Temiar berjaya membuktikan kesempitan hidup di pedalaman bukan halangan untuk menempatkan diri di menara gading.
Zumika Azmi, 21, menjadi anak orang asli pertama dari Pos Gob, di sini yang berjaya menjejakkan kaki ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Bintang kriket ini diterima melanjutkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dengan Kepujian (Sukan dan Rekreasi).
Zumika bukan sahaja menjadi kebanggaan keluarga, malah seluruh masyarakat orang asli khususnya di Gua Musang.
Bapanya, Azmi Badul, 44, berkata, anak kelima daripada 10 beradik itu berjaya membuktikan kesempitan hidup di pedalaman orang asli yang jauh dari segala kemudahan bukanlah kekangan untuk menjadi yang cemerlang.
Katanya, kejayaan Zumika ke universiti awam mendapat reaksi positif dalam kalangan keluarga, rakan-rakan, penduduk kampung dan masyarakat orang asli.
"Sejak dari kecil lagi, Zumika menunjukkan kecemerlangan dalam pelajaran. Apabila menginjak ke sekolah menengah, dia menyertai sukan kriket.
"Pencapaian demi pencapaian diperoleh sehinggalah dia berjaya ke universiti. Sebagai bapa, tiada apa yang saya harapkan selain kejayaan untuknya.
"Kami sudah biasa hidup susah, namun biarlah anak-anak hidup senang dan mampu membawa keluarga keluar dari kepompong kemiskinan kerana kesusahan itu tidak perlu diwarisi," katanya.
Azmi berkata, kesukaran hidup di pedalaman menjadi penguat semangat untuk anaknya lebih berjaya.
"Kami tinggal di perkampungan paling jauh di Gua Musang iaitu hampir 90 kilometer dari bandar Gua Musang.
"Laluan ke kampung hanyalah jalan balak yang mengambil masa lapan jam sekiranya cuaca elok. Jika musim hujan, ia melebihi 24 jam kerana jalan berselut tebal," katanya.
Zumika melangkah ke UKM melalui slot khas kecemerlangan sukan kerana pernah mewakili negara dalam sukan kriket.
Sebelum ini, dia pernah mewakili Malaysia dalam beberapa kejohanan kriket di Thailand, Sri Lanka dan Emiriah Arab Bersatu, selain pernah memperoleh pingat gangsa ketika menyertai Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur.
Pada November ini, Zumika bakal mewakili negara dalam Sukan SEA 2019 yang akan berlangsung di Filipina.