PUTRAJAYA - Sebanyak tujuh jalan di Presint 2 dan Presint 3 di sini akan ditutup mulai 4 petang esok hingga 2 pagi Selasa, 1 Jan 2019 sempena sambutan ambang tahun baharu 2019 di Dataran Putrajaya, Presint 3 di sini.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Rosly Hassan dalam kenyataan hari ini berkata, jalan yang ditutup ialah Persiaran Perdana, Jalan Kemerdekaan, Jalan Pembangunan, Jalan P3f, Jalan P3c, Jalan P2k dan Jalan P2p.
Iklan
Iklan
"Shuttle bus atau bas perantara akan beroperasi dari 6 petang 31 Disember hingga 1.30 pagi 1 Januari pada setiap 30 minit dari dua lokasi iaitu Putrajaya Sentral ke Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan dari bersebelahan Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya ke Galeria di Presint 4," katanya lagi.
Tambah Rosly, para pengunjung boleh meletakkan kenderaan di sembilan lokasi parkir awam iaitu berhampiran Suruhanjaya Tenaga, Menara Usahawan, Jabatan Pendaftaran Negara, Hotel Dorsett dan Monumen Alaf Baru. Kawasan lain ialah parkir Masjid Sultan Mizan Zainal Abidin, belakang Istana Kehakiman, parkir awam sekitar McDonald's Presint 2 dan parkir di lot Pasar Tani Presint 2 Putrajaya.
Jelas beliau, jika lokasi padat dengan kenderaan, lencongan akan dibuat secara berperingkat dan antara jalan yang terjejas ialah Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Tun Abdul Razak dan Jalan Tun Hussein. - Bernama