LEGENDA Liverpool, Robbie Fowler menilai sikap tamak bintang The Reds, Mohamed Salah ketika beraksi di atas padang bukanlah sesuatu yang buruk dan perlu dikritik.
Menurut Fowler, sifat tamak Salah itu adalah perkara biasa buat seorang pemain di jentera serangan dan percaya ia tidak akan mengganggu rentak pasukan.
Malah, pemain Liverpool era 90-an itu mahu Salah terus mengekalkan sikap tamak itu yang diyakini mampu memastikan The Reds terus menjadi pencabar dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).
"Saya tidak nampak apa yang dilakukan Salah itu memberikan kesan besar kepada pasukan. Memang dia tamak, tetapi dia mampu menjaringkan gol, jadi apa salahnya?
"Sikap tamak pada seorang pemain penyerang adalah perkara biasa. Apa sebenarnya yang penyokong mahukan daripada Salah? Adakah mahu dia sebagai seorang penjaring gol atau pemain yang sering membuat asist? Salah tidak boleh menjadi kedua-duanya serentak," katanya.
Sebelum ini, Salah dikritik selepas tidak membuat hantaran kepada rakan sepasukannya Sadio Mane dalam perlawanan menentang Burnley baru-baru ini yang mana Mane mempunyai kedudukan lebih baik untuk menjaringkan gol.
Pemain Mesir itu sebaliknya melakukan percubaan dan gagal menjaringkan gol sekali gus menimbulkan kemarahan Mane selain pengkritik menilai Salah mengutamakan kepentingan peribadi berbanding pasukan.
"Bagi saya, apa yang dikatakan oleh pengkritik itu hanya cakap kosong. Mereka tidak tahu perasaan menjadi seorang penyerang. Anda tidak boleh menjadi seorang penyerang yang menjaringkan gol tanpa adanya keyakinan diri dan sikap tamak. Itulah yang dilakukan Salah.
"Salah perlu terus bermain dengan caranya sekarang. Saya yakin dia akan terus menjaringkan gol selepas ini dan membantu pasukan," katanya yang menjaringkan lebih 150 gol ketika bermain bersama Liverpool.