PASIR MAS - Seorang jurugambar meninggal dunia ketika sedang bermain badminton di sebuah gelanggang dekat Salor, Kota Bharu petang semalam.
Dalam kejadian sekitar jam 5.30 petang itu, Muhammad Izzat Faqih Kamaruddin, 25, dikatakan rebah secara tiba-tiba ketika sedang bermain badminton bersama rakan-rakannya.
Abangnya, Nasir Kamaruddin, 28, berkata, sejurus menerima panggilan berhubung kejadian itu, dia dan keluarga terus bergegas ke lokasi untuk melihat keadaan Muhammad Izzat Faqih.
"Sejurus sahaja kami sampai pihak perubatan mengesahkan adik sudah meninggal dunia," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Mekasar dekat sini hari ini.
Menurutnya, semasa Muhammad Izzat Faqih rebah, rakan-rakan sepermainan sempat melakukan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) menyebabkan arwah sedar seketika.
Katanya, arwah sempat mengucap sebelum menghembuskan nafas terakhir.
Nasir berkata, arwah adiknya yang merupakan lulusan Syariah dari Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) itu memang aktif dalam sukan futsal, badminton dan mendaki.
"Saya sempat berbual dengan arwah sebelum dia keluar bermain badminton tetapi langsung tidak menunjukkan sebarang perubahan.
"Kami sekeluarga reda dengan pemergian arwah," katanya.
Katanya, jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kasar pada jam 10 pagi tadi.