SHAH ALAM - Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengutuskan 'Warkah Dari PWTC' kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa yang dimuat naik dalam Facebook rasminya hari ini.
Ia merupakan maklum balas beliau terhadap kenyataan Mujahid mengenai 'Piagam Yang Meragam' di Facebook rasmi menteri itu semalam.
Asyraf Wajdi menimbulkan enam persoalan kepada Mujahid yang mengupas mengenai piagam bakal dimeterai UMNO-Pas pada 14 September ini.
Beliau turut menarik perhatian apabila menggunakan panggilan kekanda kepada Mujahid dalam warkahnya itu.
"Kekanda menyebut pada 14 September ini kita menantikan survival Pas dan UMNO kerana dua parti ini akan menandatangani piagam yang akan menjelaskan kepada seluruh rakyat tentang hala tuju gabungan ini.
"Jadi kekanda sebenarnya mengaku yang sehingga hari ini piagam ini belum wujud dan belum diketahui isi kandungannya.
"Cuba kekanda jelaskan bagaimana kekanda boleh menyebut piagam ini piagam yang meragam sedangkan kekanda sendiri belum tahu walau sedikit pun isi kandungannya?" soalnya.
Asyraf Wajdi berkata, Mujahid ada menyebut piagam UMNO-Pas tidak bertujuan untuk membela ummah atau membela Islam tetapi hanya taktik politik yang tidak dipandu dengan prinsip jelas tetapi untuk survival politik semata-mata.
"Cuba kekanda jelaskan mengapa kekanda terlalu amat takut dengan piagam ini sehingga awal-awal lagi kekanda sudah berani memfitnah bahawa piagam ini tidak bertujuan untuk membela ummah ataupun membela Islam sedangkan kekanda sendiri belum tahu walau sedikit pun isi kandungannya," soalnya lagi.
Asyraf Wajdi turut menyifatkan Mujahid bersungguh-sungguh mahu melaga-lagakan UMNO dan Pas dengan menimbulkan persoalan apakah UMNO sudah menarik balik kenyataan Pas adalah parti ajaran sesat sebelum berpiagam.
"Cuba kekanda jelaskan siapakah yang menjadi juara menuduh Pas sebagai parti ajaran sesat ini. Apakah ia Presiden UMNO sekarang Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, atau Presiden Bersatu sekarang, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dilaporkan meluas berkata begitu di Lembah Pantai pada 6 April 2013," tulisnya.
Beliau turut mendakwa Mujahid bersungguh-sungguh cuba menimbulkan keraguan UMNO ke atas Pas dengan menyatakan harapan supaya parti itu tidak meninggalkan kawan sekerat jalan lagi kerana Pas kononnya pernah menerokai tahaluf siyasi bersama Pakatan Rakyat (PR) secara sekerat jalan.
"Cuba kekanda ingati betul-betul siapakah sebenarnya tinggalkan kawan sekerat jalan bersama Pakatan Rakyat, tidakkah Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, yang pertama sekali mengumumkan PR sudah mati pada 15 Jun 2015?
"Kekanda menyebut Piagam UMNO-Pas bagi menunjukkan bahawa parti yang mendominasi Piagam UMNO-Pas ialah UMNO dan Kekanda menyebut DAP-PKR-Amanah diikuti Bersatu kemudiannya membentuk Pakatan Harapan (PH).
"Jadi kekanda mengakulah bahawa parti mendominasi PH ialah DAP? Cuba Kekanda jelaskan bagaimana PH yang didominasi parti sekular tegar seperti DAP boleh diharap untuk menjaga kepentingan Melayu Islam?" soalnya.
Mengulas mengenai kenyataan Mujahid bahawa PH menang kerana hasrat memerangi rasuah, mereformasikan secara keinstitusian bidang parlimen, perundangan dan kehakiman serta kebebasan bersuara dan media, beliau menyifatkan Mujahid mengakui bahawa hasrat menjaga kepentingan Melayu Islam bukan punca PH menang.
"Jadi kekanda mengakulah yang hasrat menjaga kepentingan Melayu Islam bukan punca PH menang. Cuba kekanda jelaskan bagaimana PH yang tidak menang atas hasrat menjaga kepentingan Melayu Islam boleh diharap untuk menjaga kepentingan Melayu Islam?
"Cukuplah adinda meninggalkan enam persoalan ini untuk dijawab oleh kekanda. Moga-moga kekanda akan lebih tenang selepas 14 September ini," tulisnya.