JOHOR BAHRU - Sebagai Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yasin sepatutnya memberikan pedoman kepada pergerakan pemuda dan wanita tentang bagaimana bangsa Melayu dan Malaysia ini ingin mereka bawa.
Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, lebih-lebih lagi Perhimpunan Agung Armada dan Srikandi Bersatu merupakan forum terbaik untuk beliau berhadapan dengan penggerak muda parti itu selepas kemenangan dalam PRU14.
Menurutnya, sebaliknya, perihal Umno yang dibicarakan dengan serius dan panjang lebar, biarpun Umno berada pada kedudukan paling susut dalam hayatnya.
"Maknanya, jika Umno yang berada dalam keadaan sekarang pun terus menghantui beliau (Muhyiddin), bayangkan jika Umno ini berjaya kita pulihkan sedikit masa lagi.
"Barangkali tidak mustahil Bersatu akan terpaksa mengadakan perhimpunan khas hanya untuk berbicara tentang Umno," katanya ketika mengulas ucapan Muhyiddin pada perhimpunan tersebut yang berlangsung semalam.
Mohamed Khaled berkata, Umno menolak tohmahan Muhyiddin bahawa mereka menggunakan sentimen
perkauman dan agama untuk meraih sokongan setelah kalah PRU14.
"Umno sentiasa konsisten dalam pendiriannya berkaitan Islam dan bangsa Melayu. Semua orang boleh menyemak perkara ini. Tiada pendirian yang berdolak dalih.
"Tiada pendekatan yang bertukar-tukar. Agenda Melayu, kedudukan Islam dan masa depan terbaik untuk Malaysia yang majmuk adalah tiga mantera utama Umno, dulu kini dan selamanya.
"Akan tetapi, kini ada ancaman sistematik yang bertopengkan kebebasan terhadap kepentingan bangsa Melayu dan Islam. Mungkin bukan daripada Bersatu sendiri, tetapi rakan-rakannya di dalam PH yang sangat alah dengan sebarang agenda Bersatu dan Islam," katanya.
Beliau berkata, jadi apabila Bersatu tidak mampu berbuat apa-apa melainkan membisu dan menurut sahaja tekanan liberal dalam PH, Umno sudah pasti tidak akan membutakan mata sahaja terhadap ancaman-ancaman ini.
"Umno percaya semua ini lambat laun akan meruntuhkan sistem kehidupan dan norma masyarakat Melayu, jika tidak dikawal dan disanggah dari awal.
"Inilah yang telah dan akan terus Umno lakukan. Benar, mungkin ada cara yang kurang berkesan dan tidak lancar. Semua itu harus diperbaiki dan diperkemas.
"Namun, ancaman-ancaman ini bukanlah sebuah cerita dongeng. Masakan sebuah pakatan yang sentiasa berprasangka buruk antara satu sama lain dan tidak senada dalam menterjemahkan Perlembagaan Persekutuan boleh menjaga hak,
keistimewaan dan membela nasib bangsa Melayu," katanya.
Ujarnya lagi, Umno tidak apologetik dalam pendiriannya terhadap kedudukan Islam dan bangsa Melayu sebaliknya Bersatu yang sangat bercelaru, keliru dan buntu.
"Mereka sangat tidak konsisten dalam ideologi mereka. Sekejap mahu menjadi penyelamat Malaysia. Namun tiada pula dasar konkrit yang parti ini ditawarkan. Kemudian mereka adalah juara kesamarataan.
"Tetapi berpusing-pusing sekitar keperluan mendesak dasar afirmatif. Selepas dikritik kerana tidak serius dengan agenda Bumiputera, kini mereka adalah pembela agenda Melayu pula.
"Sebenarnya Bersatu dibangunkan tanpa sebarang pasak ideologi. Saya mahu bertanya, adakah Bersatu malu untuk menyatakan bahawa Melayu masih lagi tuan pada tanah ini. Adakah mereka tidak mampu, untuk membawa naratif
Melayu yang lebih progresif dan pada masa yang sama mengakui ketuanan Melayu di tanahnya sendiri. Namun yang lebih penting, siapakah Melayu dari kaca mata Bersatu," katanya.
Jadi, jelasnya lagi, mampukah Bersatu mendidik bangsa Melayu untuk menjadi tuan yang amanah di tanahnya sendiri jika hakikat ketuanan itu sendiri pun sukar untuk diakui.
"Umno telah wujud selama 70 tahun dan semua pemimpin Bersatu sekarang ini adalah hasil acuan Umno. Sebahagian besar mereka pernah menjadi sebahagian dari Umno dan perjuangnya.
"Perjuangan yang selama ini percaya dengan ketuanan Melayu dan hak-hak Melayu. Jika Umno tidak sederhana dalam pendiriannya, masakan Umno boleh memastikan kestabilan politik, ekonomi dan sosial di Malaysia selama kami diberi amanah selama enam dekad lepas," katanya.