Bayi ditinggal atas meja kedai makan

Iklan
Seorang bayi lelaki ditemui ditinggalkan di atas meja sebuah kedai makan di Tanjung Malim Jumaat lalu. FOTO: IHSAN PEMBACA

TANJUNG MALIM - Seorang bayi lelaki masih bertali pusat dipercayai baru dilahirkan ditemui di atas meja sebuah kedai makan di Jalan Maktab di sini Jumaat lalu.

Bayi seberat 2.34 kilogram itu masih bernyawa dan dipercayai ditinggalkan dalam keadaan berbalut sehelai tuala berwarna kelabu.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, bayi berkenaan ditemukan seorang warga emas berusia 80 tahun kira-kira jam 8 malam ketika singgah di kedai makan dua tingkat yang terletak kira-kira 200 meter dari jalan utama.

"Kedai itu merupakan premis milik anaknya dan ketika sampai saksi ternampak satu bayi lelaki dibaluti sehelai tuala berada di atas meja makan tanpa apa-apa kesan atau nota yang ditinggalkan.

Iklan

"Saksi terus meminta bantuan menantunya untuk menghubungi polis," katanya.

Menurutnya, bayi terbabit kini berada dalam keadaan stabil dan ditempatkan di wad kecemasan Hospital Slim River bagi tujuan pemeriksaan.

Iklan

"Tali pusat juga telah dipotong, doktor yang memeriksa mendapati bayi itu sihat tanpa apa-apa kesan," katanya.

Beliau berkata, tiada sebarang tangkapan dilakukan setakat ini dan kes masih disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan.