SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan (KPM) menegaskan laporan media yang mendakwa sebanyak 21 Institut Pendidikan Guru (IPG) disyorkan ditutup mulai tahun hadapan adalah tidak benar dan tidak tepat sama sekali.
Jurucakap KPM berkata, ketika ini kementerian berpandangan sebarang perancangan haruslah melibatkan semua pemegang taruh terutama pensyarah dan pelajar IPG.
Iklan
Iklan
"Ini termasuklah mengambil kira kesan jangka masa panjang dan masa hadapan landskap pembinaan pembangunan profesionalisme perguruan.
"Oleh demikian, tidak munasabah perkara seperti penutupan 21 IPG ini dibincangkan ketika KPM sedang berusaha melaksanakan penambahbaikan dalam latihan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Laporan muka depan sebuah akhbar tempatan hari ini melaporkan dakwaan daripada sumber tidak dinamakan terdapat cadangan 21 daripada 27 (IPG) akan ditutup secara berperingkat bermula tahun depan dan tahun ini merupakan pengambilan terakhir pelajar IPG berkenaan.