KUANTAN - Insiden pergaduhan yang berlaku antara kakitangan gerai kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Gambang arah timur dengan seorang pemandu bas ekspres menyebabkan keadaan menjadi lengang tanpa pengunjung.
Lebih memilukan, R&R Gambang arah barat turut menerima tempias insiden itu yang dipercayai hasil kempen boikot orang ramai di media sosial.
Tinjauan Sinar Harian ketika waktu makan tengahari mendapati suasana di kedua-dua R&R tersebut tidak dikunjungi orang ramai khususnya pengusaha bas ekspress di samping perniagaan di kawasan tersebut turut terjejas.
Bagi seorang pekerja, Niliyana Abdul Rahim, 43, berkata, perniagaan di kedainya terjejas teruk walaupun tiada kedai terlibat dalam insiden pergaduhan tersebut di R&R Gambang arah Barat.
Jumlah pelanggan ke kedai makannya yang menyajikan masakan lauk campur saban hari semakin berkurang, seolah-olah mereka takut kejadian sama berulang.
Akibat insiden itu, kedainya mengalami kemerosotan sehingga 50 peratus kerana pengguna lebuhraya dan pemandu bas ekspres tidak lagi berhenti ke situ.
"Kalau sebelum insiden itu, musim cuti sekolah begini kita boleh dapat keuntungan paling kurang RM1000 sehari, tapi sekarang nak capai keuntungan RM500 sehari pun payah.
"Keadaan pengunjung pun sangat jauh berbeza, kalau dulu, waktu hujung minggu begini lebih lagi waktu tengah hari ramai orang datang, tapi sekaang lengang," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di R&R Gambang arah Barat di sini, hari ini.
Niliyana berharap agar insiden ini dapat diselesaikan dengan baik kerana perniagan di tempat kerjanya amat bergantung kepada pengguna lebuh raya dan pemandu bas ekspres yang sebelum ini sememangnya sering berhenti di situ.
Dalam pada itu, walaupun gerai nombor 6 di R&R Gambang arah timur yang terlibat dalam insiden itu, namun gerai nombor sama di R&R Gambang arah Barat juga menerima padah dikecam pengunjung yang datang.
Anak pemilik gerai tersebut, Amirul Alias, 23, berkata walaupun perniagaannya tidak terjejas, namun ada pengunjung yang memerhatikan gerainya seolah-olah terlibat dalam pergaduhan tersebut.
"Setiap kali pengunjung singgah di sini, mesti ada yang perhati dengan pelik kedai kami hingga ada orang ambil gambar siap ada yang nak tularkan kedai kami ini sebab mereka ingat kami terbabit dalam kes tersebut.
"Jika ada orang ambil gambar, terpaksaklah kami halang dan beritahu mereka dah salah kedai. Saya harap orang ramai memahami kami sememangnya tidak terlibat," katanya.