NGO tuntut penjelasan kerajaan isu pemberian kerakyatan

Iklan
Fairuz menunjukkan laporan kenyataan Muhyiddin berhubung pemberian sijil kewarganegaraan kepada 200,000 orang tahun lalu.

KUALA LUMPUR - Gabungan Gerak Padu Selangor (GGPS) tidak teragak-agak untuk mendapatkan perintah injunksi daripada Mahkamah Tinggi sekiranya kerajaan gagal menjelaskan status pemberian kerakyatan kepada warga asing.

Penasihat Undang-Undang GGPS, Datuk Imran Tamrin berkata, kerajaan perlu menjelaskan sekiranya terdapat perubahan dasar dari segi syarat yang perlu dipatuhi untuk permohonan kewarganegaraan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, penjelasan itu penting susulan penularan status kerakyatan diperoleh warganegara China baru-baru ini menjadi satu isu sensitif yang perlu diperjelaskan, bukan sekadar dinafikan.

"Semalam, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) (Datuk Ruslin Jusoh) membuat kenyataan media berhubung isu itu dan mengatakan ia adalah fitnah. Namun kami mahukan penjelasan yang sewajarnya daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Iklan

"Adakah ia sekadar dakwaan atau polemik di media sosial? Isu ini membimbangkan kerana sangat sensitif dan perlu diberi penjelasan kepada kita rakyat Malaysia mengenai pemberian kerakyatan di bawah kerajaan baharu hari ini. Adakah ia lebih mudah?" katanya pada sidang media di Pejabat GGPS di sini hari ini.

Imran turut mempersoalkan pemberian kerakyatan yang mula tular itu berkait dengan kenyataan dibuat Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tahun lalu bahawa seramai 200,000 orang dijangka mendapat sijil kewarganegaraan.

Iklan
Dari kiri; Fairuz, Mohammad Faizal dan Imran pada sidang media di Pejabat GGPS di Kuala Lumpur hari ini.

"Siapa mereka ini? Adakah mereka melalui proses yang sepatutnya? Jadi perkara ini perlu dijelaskan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi GGPS, Muhammad Faizal Sufar menuntut kerajaan mengetatkan syarat bagi permohonan kerakyatan.

"Kerajaan perlu perhalusi isu ini bagi memastikan mereka yang diberi kerakyatan mengetahui asas pengetahuan negara seperti berbahasa Melayu, Rukun Negara dan siapa Agong kita,” katanya.

Bagi Pengerusi Gagasan Orang Muda, Fairuz Jamaludin, beliau turut melahirkan kebimbangan sekiranya isu pemberian kerakyatan berkait dengan kepentingan politik.

"Mengapa dalam keadaan sekarang kerajaan perlu ‘ambil’ lagi warganegara sedangkan kita ada ramai rakyat yang perlu dibantu. Adakah semata-mata meramaikan pengundi?” katanya.

Semalam, JPN menjelaskan, penularan isu wanita China yang didakwa memiliki Mykad baru-baru ini adalah isteri kepada seorang warga Malaysia dan sudah menetap di negara ini selama 20 tahun.

Wanita itu ialah pemegang status penduduk tetap sebelum memperoleh kewarganegaraan pada 2017 berdasarkan Perkara 15 (1) Perlembagaan Persekutuan.