KOTA BHARU - PKR Kelantan mahu seluruh kepimpinan dan anggota parti tersebut khususnya di negeri ini, menghentikan pertikaian pelantikan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan Majlis Pimpinan Negeri (MPN) yang diumumkan oleh presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pengerusinya, Datuk Seri Mohamad Suparadi Md Noor berkata, pemimpin parti sebaliknya perlu menghormati keputusan presiden bagi mengatur langkah ke arah memperkukuhkan parti.
"Sebagai pengerusi negeri saya sedikit dukacita dengan beberapa anggota parti di negeri ini yang masih mempertikaikan pelantikan MPP dan MPN kerana kenyataan itu akan mengambarkan suasana yang tidak baik kepada parti.
"Cukup-cukuplah mengeluarkan kenyataan seumpama itu, sebaliknya kita harus bersama untuk melaksanakan kerja-kerja untuk memperkuatkan parti, kita tidak mahu amal budaya berpuak-puak kerana amalan itu akhirnya merugikan parti," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Semalam beberapa portal berita melaporkan terdapat pemimpin parti di negeri itu menyifatkan lantikan MPP parti itu bagi penggal 2018-2021 membuktikan Presiden PKR, Anwar Ibrahim sudah"hilang taring" dan tidak memahami aspirasi akar umbi.
Mohamad Suparadi berkata, sebelum mengumumkan pelantikan, presiden parti telah mendapatkan pandangan daripada banyak pihak dalam mesyurat pertama MPP pada Jumaat lepas walaupun mempunyai hak melantik mana-mana individu berasaskan perlembangan parti.
"Presiden masih ambil pandangan, tidak timbul dia (Anwar) hilang taring dan saya yakin tindakan terbukaan yang telah diamalkan itu melonjakkan lagi kewibawaan dan karisma beliau sebagai pemimpin.
"Pelantikan beberapa tokoh itu seperti Rafizi Ramli sebagai langkah untuk memperkuatkan parti dan dalam masa sama mengembalikan ukhuwah dalam kalangan anggota dan kepimpinan parti," katanya yang menyeru semua anggota supaya bergerak bersama bagi memperkuatkan parti di negeri itu.
"Kita tidak mahu ada kumpulan tertentu, kita mahu hanya satu kumpulan sahaja iaitu PKR. Berilah kepercayaan kepada presiden untuk membentuk parti," katanya. - Bernama