ALOR SETAR - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mempelawa mana-mana pihak yang berminat menggantikan Padiberas Nasional Bhd (Bernas) yang akan tamat kontrak Permit Import beras pada Januari 2021 agar mengemukakan Permohonan Cadangan (RFP) untuk dinilai kerajaan.
Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub berkata, kementeriannya mengalu-alukan mana-mana pihak termasuk pertubuhan peladang atau swasta yang berminat mendapatkan kontrak tersebut untuk menghantar cadangan mereka dengan segera.
Iklan
Iklan
Menurutnya, pihaknya akan membuat keputusan berdasarkan keupayaan pihak terlibat dalam memenuhi kriteria ditetapkan, selain mampu melaksanakan tanggungjawab menjaga keselamatan makanan secara keseluruhan.
"Kita akan beri terma dan syarat merangkumi lima aspek utama termasuk tanggungjawab sosial.
"Saya yakin perkara ini boleh diselesaikan dalam tempoh enam bulan dari sekarang dan kita akan umum satu keputusan sama ada dianugerahkan kepada peneraju baharu atau meneruskan kontrak Bernas,” katanya pada sidang akhbar selepas perasmian Konvensyen Padi peringkat kebangsaan di sini.