Tembok besi bukan penghalang!

Iklan
Dua banduan Jep, 36, (kiri) dan Ken, 34, memerhatikan surat tawaran siswazah Universiti Sains Malaysia (USM) yang diterima mereka di Penjara Seberang Perai, Sungai Jawi hari ini. Jep mengambil jurusan Sarjana Sains Kemasyarakatan (Antropologi/Sosiologi) manakala Ken mengambil jurusan Sarjana Sastera (Pengaurusan). - Foto Bernama

NIBONG TEBAL - Berada di sebalik tembok besi dan status sebagai banduan tidak menghalang dua lelaki di Penjara Seberang Perai, di sini melanjutkan pengajian mereka ke peringkat pasca siswazah.

Jep, 36, dan Ken, 34, masing-masing bukan nama sebenar, yang sebelum ini bersama-sama menamatkan pengajian mereka di peringkat Ijazah Sarjana Muda ketika menjalani hukuman di Penjara Kajang, mengambil keputusan untuk menyambung pengajian pasca siswazah di Universiti Sains Malaysia (USM).

Iklan
Iklan

Jep yang mengambil jurusan Sarjana Sains Kemasyarakatan (Antropologi/Sosiologi) berkata, keputusan untuk menyambung pengajian ke peringkat tertinggi semata-mata untuk membuat keluarganya berasa bangga selain mahu menjadi contoh terbaik kepada banduan yang lain.

"Alhamdulillah, saya tinggal lima bulan lagi untuk bebas. Insya-ALLAH saya akan sambung pengajian saya di USM nanti dan saya nak habiskan pengajian saya. Kalau boleh saya nak sambung sehingga ke peringkat PhD (doktor falsafah)," katanya yang menjalani hukuman di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan sejak tahun 2012.

Iklan

Terdahulu, Timbalan Dekan Institut Pengajian Siswazah USM Prof Madya Dr Tau Guan Seng menyerahkan surat tawaran dan memberi taklimat pengajian kepada kedua-dua banduan itu. Turut hadir Penolong Kanan Komisioner Penjara Seberang Perai Husin Johari.

Berkongsi pengalamannya mengikuti pengajian peringkat siswazah di penjara, Jep yang juga graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Politik dari Open University itu berkata, dia tidak mengalami sebarang masalah dan menganggap belajar di mana-mana sekali pun mempunyai cabarannya yang tersendiri.

Iklan

Menurutnya, dia memilih USM sebagai tempat pengajiannya selepas mengetahui pusat pengajian itu ada menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan Penjara Seberang Perai.

Bagi Ken pula dia menyambung pengajian ke peringkat tertinggi itu adalah untuk mengembalikan keyakinan diri yang hilang selepas lama menjadi penghuni di penjara dan sebagai persediaan apabila dia keluar penjara pada 2021 nanti.

"Untuk beberapa tempoh ketika saya berada dalam penjara saya hilang keyakinan dan bercakap dengan orang lain. Disebabkan itu juga saya tidak lagi boleh bertutur dalam Bahasa Inggeris. Empat tahun lepas saya mula melibatkan diri dengan universiti lain untuk pengajian program ijazah sarjana muda dan segalanya bermula dari situ,” kata graduan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan dari Open University itu.

Dari segi kelebihan belajar di penjara, Ken yang mengambil jurusan Sarjana Sastera (Pengurusan) itu berkata dia akan menjadi lebih fokus kerana banyak masa dihabiskan untuk belajar, namun ada kekangan dari segi peraturan dan masa yang telah ditetapkan oleh pihak penjara yang perlu diikuti.

"Kami mahu membuktikan kepada dunia luar bahawa kami tidak lama lagi akan menjadi sebahagian daripada masyarakat dan menyumbang kepada masyarakat apabila kami di luar sana. Kami melakukan sesuatu yang salah sebelum ini, tetapi kami berharap masyarakat tidak menilai kami dengan apa yang kami lakukan untuk hanya satu hari dalam hidup kami, mungkin kami juga telah melakukan sesuatu yang baik sebelum itu," katanya yang menjalani hukuman di bawah Seksyen 304 Kanun Keseksaan sejak 2011.

Sementara itu, Husin berkata, pihaknya akan menyediakan kelengkapan yang secukupnya seperti sebuah bilik khusus yang dilengkapi komputer dan internet bagi memudahkan mereka menjalani pengajian memandangkan ini adalah kali pertama banduan di penjara itu mengikuti pengajian di peringkat tertinggi.

Beliau berkata, mereka boleh menggunakan bilik berkenaan dalam tempoh ditetapkan antara 8 pagi hingga 4 petang pada setiap hari bekerja di bawah pemantauan penguat kuasa yang bertugas.

Dalam pada itu, Tau berkata ini adalah kali pertama USM memberi peluang kepada banduan untuk melanjutkan pengajian dan pihaknya mengalu-alukan lebih ramai lagi banduan mengikut jejak langkah Jep dan Ken.

"Mereka diterima atas kelayakan mereka. Kami akan sediakan apa-apa yang diperlukan oleh mereka. Kita layan mereka sama seperti pelajar-pelajar yang lain dan mereka akan ikut syarat sama seperti kita tetapkan pada pelajar-pelajar lain. Tiada perbezaan, tidak ada diskriminasi," katanya. - Bernama