Jerebu rentas sempadan antara punca IPU meningkat

Iklan
Hee Loy Sian

SHAH ALAM - Jerebu yang melanda beberapa kawasan di Selangor sehingga bacaan mencatatkan skala tidak sihat berpunca daripada jerebu merentasi sempadan.

Terdapat bilangan titik panas yang tinggi dikesan di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia dari 7 September sehingga 9 September lalu.

Iklan
Iklan

Selain itu, aktiviti pembakaran terbuka di atas batas-batas pertanian dan belukar di Johan Setia, Klang menyumbang kepada peningkatan bacaan IPU.

Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, Hee Loy Sian berkata, berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan, status kini berada di peringkat amaran awal di mana semua jenis pembakaran terbuka adalah dilarang sama sekali.

Iklan

"Dalam soal ini, orang ramai dinasihatkan supaya mengurangkan aktiviti luar rumah, menghentikan aktiviti luar bilik darjah bagi murid-murid dan menangguhkan semua aktiviti keramaian atau sukan di luar bangunan.

"Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Selangor mengambil beberapa tindakan antaranya melaksanakan Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan, tingkatkan rondaan dan pemantauan kawasan yang berisiko berlakunya pembakaran terbuka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Iklan

Beliau berkata, pada masa sama JAS Selangor turut menjalankan rondaan dan pemantauan di Johan Setia terutamanya di kawasan pertanian yang berpotensi tinggi untuk berlaku pembakaran terbuka.

"Pihak kami turut bekerjasama dengan skuad Pantas Majlis Perbandaran Klang dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia bagi mengawal kes-kes kebakaran.

"Penggunaan drone dalam memantau kejadian kebakaran terbuka juga dipertingkatkan selain bacaan dan tren IPU stesen pengawasan udara dipantau dari semasa ke semasa untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Beliau berkata, tindakan amaran, kompaun dan mahkamah boleh dikenakan di bawah Seksyen 29A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 kepada pihak yang melakukan pembakaran terbuka.

"Kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan serta semua pemilik tanah dinasihatkan memantau secara rapi kawasan-kawasan yang mudah dan sering terbakar seperti tapak pelupusan sampah, hutan, tanah gambut, ladang, kawasan pertanian serta industri.

"Mereka perlu mengambil langkah untuk mencegah pencerobohan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab," katanya.