Umur pencen perlu dipanjangkan

Iklan
Abdul Halim (dua dari kiri) bersama dua lagi panel iaitu Shamsuddin (dua dari kanan) dan Jufitri (kanan) membincangkan tajuk Bila Masa Terbaik Untuk Pencen pada program Wacana ke-126 di Shah Alam semalam. Ahmad Fedtri (kiri) bertindak selaku moderator. - Foto ASRIL ASWANDI SHUKOR

ISU cadangan meningkatkan had umur persaraan dari 60 tahun kepada 65 tahun mendapat pelbagai reaksi daripada rakyat Malaysia khususnya golongan belia.

Mereka berpendapat cadangan itu hanya akan mengecilkan peluang pekerjaan dan jumlah pengangguran semakin bertambah.

Iklan
Iklan

Cadangan itu juga dilihat tidak selaras dengan hasrat kerajaan yang mahu meningkatkan jumlah pekerjaan sebanyak satu juta membabitkan golongan belia.

Bagi mendapatkan pandangan lebih lanjut mengenai isu tersebut, Sinar Harian menerusi Wacana ke-126 bertajuk Bila Masa Terbaik Untuk Pencen menampilkan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Abdul Halim Mansor; Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan; Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Jufitri Joha dan personaliti televisyen, Ahmad Fedtri Yahya selaku moderator.

Iklan

Pandangan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Abdul Halim Mansor

Banyak industri wujud selepas Perang Dunia Kedua tetapi ketika itu kita tidak ada akta persaraan.

Iklan

Sehingga 1990-an, perjumpaan pertama MTUC dengan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, maka beliau setuju untuk menganjakkan umur bersara kepada 56 tahun.

Kemudian, dinaikkan pula kepada 58 tahun tetapi tidak wujud akta.

Pada zaman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, beliau bersetuju dan telah dimaktubkan Akta Umur Bersara Minimum kepada 60 tahun.

Akta itu juga dibuat bagi menentukan ia terlibat dengan akta-akta lain. Satu, kita harus melihat dalam konteks Konvensyen Organisasi Buruh Antarabangsa (ILO) 1952 (102) yang menentukan simpanan hari tua.

Di sini kita lihat agak mengecewakan kerana kita ada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan oleh kerana caruman yang kita buat itu haruslah mempunyai persetujuan dengan rakan sosial kita iaitu Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF).

Bagaimanapun, kalau kita lihat apa yang berlaku di Malaysia, apabila lebih tua pekerja itu, harga akan jatuh.

Apabila umur mencecah 60 tahun, apabila kita bekerja semula dengan tenaga yang ada, tak ubah apa-apa pun. Kadar caruman majikan jatuh kepada 50 peratus, kadar perundingan Socso juga jatuh dan kita tidak dilindungi keilatan.

Asas pertama untuk kita mensejahterakan perlindungan pekerja ini agar mereka tidak perlu risau tentang simpanan sama ada mencukupi atau tidak.

Dilaporkan lebih kurang 80 peratus pencarum dalam KWSP tidak mencakupi RM150,000. Dengan anggaran jangka hayat manusia iaitu 75 tahun, kita ada tempoh 15 tahun selepas bersara pada umur 60 tahun.

Dengan simpanan RM150,000, kita hanya boleh guna RM800 hingga RM900 sebulan. MTUC sebenarnya tidak minta sesuatu perkara itu terus diperakui, sebaliknya kita membawanya untuk diperhalusi dengan rakan sosial kita.

Berkaitan masalah belia, apabila kita mula naikkan umur persaraan ke 60 tahun, kita tidak ada masalah belia tiada kerja. Apa yang diwartakan oleh kerajaan bahawa kadar pengangguran kita 3.3 peratus. Yang menjadi masalah ialah kita ada dua juta ruang kerja yang diisi pekerja asing.

Kita ada seramai 500,000 pelajar yang menamatkan pengajian di peringkat sekolah menengah dan institut pengajian tinggi.

Belia ini akan diletakkan di lapangan tenaga kerja kebangsaan dan diaturkan pekerjaan daripada Kementerian Pendidikan dan Kementerian Sumber Manusia.

Mereka diaturkan pekerjaan dengan gaji minimum setahun. Selepas setahun, mereka dapat testimoni sebagai pekerja terlatih. Kita dah uar-uarkan perkara ini kerana perancangan kita untuk capai gaji minimum tidak boleh terlalu lama.

MTUC telah memperjuangkan dasar gaji minimum sejak 1986. Kita kena faham bahawa MTUC ialah pusat perjuangan pekerja. Kerja kita memang meminta, sebab kalau kita tak minta perkara ini tidak akan bergerak. Tiada majikan yang bangun pagi akan fikir untuk naikkan gaji pekerja.

Maka, kalau kita tidak mungkinkan dari awal, di hujungnya kita akan punah. Apa yang kita buat ini untuk negara.

Kita minta umur bersara sehingga 65 bukan sebab nak orang muda tak ada kerja tetapi sebab pengalaman itu ada.

Penggunaan pengalaman untuk mendidik orang muda agar mereka dapat belajar sebelum kita pergi. Kita hanya perlu masa lima tahun.

Kita bukan tak mesra majikan tetapi kalau kita lihat dalam akta, setiap kali pekerja meminta sesuatu faedah, majikan akan potong. Bagi saya, umur bersara ini harus dipanjangkan kerana jangka hayat manusia panjang. Saya melihat dalam konteks bahawa guna pakai tenaga ini harus dibincangkan dan bukan dijadikan tenaga pengangguran sesi kedua.