NEW DELHI - INDIA. Kelemahan usaha menyelamat 15 pelombong terperangkap lebih dua minggu dalam lombong arang batu haram yang dipenuhi air di pedalaman utara India, mencetuskan kecaman awam.
Pengguna media sosial membandingkan usaha menyelamat itu dengan operasi mengeluarkan 13 mangsa Gua Tham Luang di Thailand yang memakan masa 18 hari pada Julai lalu, dan menyifatkan misi menyelamatkan pelombong India terbabit sebagai memalukan.
Difahamkan, kumpulan pelombong tersebut terputus hubungan sejak 13 Disember lalu apabila air sungai berhampiran melimpah masuk ke dalam lombong haram sedalam 106 meter di negeri Meghalaya.
Tidak ada petunjuk yang mereka masih hidup, tetapi keluarga pelombong masih berharap kesemua mangsa menemui ruang udara kecil untuk terus hidup.
"Empat belas penyelam tentera laut tiba semalam (Ahad) dan meninjau kawasan lombong. Mereka sedang cuba masuk sekarang,” kata pesuruhjaya polis Sylvester Nongtnger.
Misi menyelamat terhalang disebabkan kekurangan pam kuasa dan peralatan lain.
Minggu lalu Pasukan Respons Bencana Nasional memohon kerajaan menghantar 10 pam jentera untuk menyedut keluar air sebelum penyelam boleh masuk.
Syarikat Coal India milik kerajaan negeri juga menghantar beberapa peralatan dan berpuluh pekerja menyelamat tiba pada Jumaat. - AFP