Kanak-kanak perempuan maut dipercayai didera

Iklan
Gambar hiasan

MELAKA TENGAH - Kanak-kanak perempuan berusia 2 tahun meninggal dunia dipercayai didera fizikal dan seksual oleh sepasang suami isteri yang juga pengasuhnya di sebuah rumah di Kandang di sini semalam.

Sumber polis berkata, kanak-kanak malang itu sebelum ini dibesarkan oleh ibu angkat yang juga ibu saudaranya dan tinggal di negeri ini selepas kanak-kanak terbabit diserahkan ibu bapa kandungnya yang menetap di Klang, Selangor.

Iklan
Iklan

Menurutnya, bagaimanapun sejak akhir Julai lalu, kanak-kanak yang dipercayai turut mengalami masalah lembam itu diserahkan kepada pengasuh berkenaan yang turut mempunyai hubungan saudara dengan ibu angkat terbabit.

"Lebih kurang jam 2 pagi (semalam) kanak-kanak itu dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Melaka oleh suami isteri itu setelah tidak sedarkan diri dan pegawai perubatan ketika itu turut memberikan bantuan pernafasan (CPR).

Iklan

"Malangnya bantuan CPR berkenaan tidak berjaya dan mangsa disahkan meninggal dunia selain pemeriksaan mendapati terdapat kesan parut di bahagian kepala dan paha mangsa," katanya.

Difahamkan mangsa sejak kecil dipelihara oleh ibu angkatnya yang bekerja sendiri, namun wanita itu ke Terengganu atas urusan kerja dan terpaksa menghantar mangsa kepada pengasuh sejak dua bulan lalu.

Iklan

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Mohd Nor Yhazid Idris mengesahkan kejadian itu dan pasangan suami isteri masing-masing berusia 45 dan 36 tahun ditahan malam tadi.

Menurutnya, setakat ini pihak polis sedang menunggu laporan bedah siasat terhadap kanak-kanak itu yang dijalankan di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka.

"Kita telah membuka kertas siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017," katanya.