Bapa cedera rumah dihempap dahan pokok

Iklan
Azman cedera di bahagian betis kiri ketika sedang membaik pulih atap rumah yang rosak.

RANTAU PANJANG - Niat murni seorang bapa membaik pulih atap rumah yang rosak selepas dipukul ribut menjadi mimpi ngeri apabila dia cedera di bahagian betis kiri setelah dahan pokok bongor berusia puluhan tahun tiba-tiba patah lalu menghempap bahagian dapur dan bilik tidur rumah berkenaan.

Lebih memeritkan lagi dalam kejadian jam 9 malam itu pihak perubatan mengesahkan urat betis kiri Azman Mohd Nor, 46, putus sekali gus memerlukannya menjalani rawatan lanjut.

Iklan
Iklan

Mengimbau semula detik cemas itu, Azman berkata, sebelum kejadian dia sedang membaik pulih atap rumahnya yang rosak dipukul ribut.

"Tiba-tiba saya dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat dan mendapati dahan pokok bongor di belakang rumah telah tumbang.

Iklan

"Saya terus berlari keluar menyelamatkan diri dan selepas itu terkejut mendapati betis kiri sudah berlumuran darah," katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Kedap di sini hari ini.

Menurutnya, selepas itu dia terus dibawa ke klinik berhampiran untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Iklan
Keadaan rumah Azman yang rosak teruk akibat dihempap dahan pokok bongor.

Sementara itu, isteri Azman, Rosinah Mat Ghani, 49, berkata, kawasan rumahnya dan penduduk sekitar dilanda ribut yang agak kuat.

Katanya, ketika itu dia sedang berada di dalam bilik untuk menidurkan anak bongsu dan cucu berusia setahun.

"Disebabkan ribut terlalu kuat, anak bongsu (Farah Anisha,12) mengajak saya keluar dari bilik dan tidur di luar selepas dia takut dengan bunyi desiran angin.

"Selang dua tiga langkah, kami dikejutkan dengan dentuman kuat apabila dahan pokok bongor tumbang lalu menghempap bilik dan bahagian dapur rumah.

"Mujurlah ALLAH SWT menggerakkan hati saya untuk bawa anak dan cucu keluar dari bilik kalau tidak kami sudah dihempap dahan pokok besar itu," katanya.

Rosinah berkata, dia dan keluarga lega apabila terselamat dalam kejadian tersebut walaupun bahagian dapur serta bilik tidur rosak teruk.