IPOH - Isteri kepada Allahyarham Mejar Mohd Zahir Armaya, Nour Shafinar Harun, 31, tidak menyalahkan mana-mana pihak berhubung insiden yang berlaku 4 September lalu.
Menurutnya, insiden terkena tembakan dalam aksi demonstrasi di Kem Lok Kawi, Sabah itu disifatkan sebagai satu kemalangan dalam latihan.
"Saya sebagai isteri tidak salahkan mana-mana pihak atas kejadian ini, saya anggap ia satu kemalangan kerana mereka sama-sama dalam latihan.
"Masing-masing juga merupakan penembak tepat dan kita tidak tahu apa yang akan berlaku. Saya sudah reda dengan ketentuan Ilahi," katanya kepada pemberita ketika ditemui di kediaman keluarganya di Taman Perpaduan Ulu Kinta di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas siasatan terhadap insiden itu yang kini menjurus kepada faktor kecuaian.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan dan setakat ini, 11 individu termasuk anggota tentera yang terbabit dalam insiden berkenaan sudah dipanggil untuk memberi keterangan.
Terdahulu, Nour Shafinar menerima kunjungan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
Baginda yang tiba pada jam 12.30 tengah hari meluangkan masa hampir 30 minit berbual bersama balu Allahyarham dan turut berkenan menyampaikan sumbangan.
Dalam kunjungan itu, Nour Shafinar berkata, Tuanku Zara menitipkan kata semangat dan reda dengan apa yang telah terjadi.
"Baginda turut menasihatkan agar saya banyakkan bersabar menempuh kehidupan terutama dalam membesarkan anak-anak," katanya.
Hadir sama, Panglima 2 Briged, Brigadier Jeneral Malek Razak Sulaiman dan Ketua Staf Am 21 Gerup Gerak Khas (GGK), Brigadier Jeneral Datuk Jamaludin Jambi.