TANAH MERAH - Kerajaan Kelantan menyambut baik cadangan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad agar pesawah padi menerima kaedah menggabungkan tanah sawah mereka untuk diusahakan sebagai estet perladangan bagi membantu mengembangkan lagi pendapatan golongan tersebut.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, bagaimanapun cadangan itu memerlukan kajian yang menyeluruh melibatkan agensi berkaitan.
"Cadangan tersebut sangat bernas dan sangat menarik kerana kebanyakan tanah kini diusahakan individu dan sekiranya dicantumkan, ia mungkin memberi pendapatan lebih besar.
"Sekiranya usaha itu dibuat kajian secara teliti dan terperinci, kerajaan negeri sedia memberi kerjasama," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri yang berlangsung di Majlis Daerah Tanah Merah di sini hari ini.
Mohd Amar berkata, kajian menyeluruh bagi pelaksanaan penggabungan tanah pesawah tersebut sangat penting bagi melihat sejauh mana keberkesanan, pro dan kontranya memandangkan ia merupakan hak milik individu.
Terdahulu, Dr Mahathir berkata, masalah kemiskinan yang membelenggu golongan pesawah padi hanya dapat diatasi jika mereka bersedia menerima kaedah menggabungkan tanah sawah mereka untuk diusahakan sebagai estet perladangan.
Perdana Menteri berkata, mempelajari daripada kejayaan penggabungan tanah industri getah dan kelapa sawit, pemilik tanah sawah kelak akan dapat melaksanakan penanaman padi secara besar-besaran dengan melibatkan kepakaran dan kemahiran pertanian.
ARTIKEL BERKAITAN: Gabung sawah dapat hapus kemiskinan pesawah padi: Dr Mahathir