TERLALU sibuk sehingga terlupa dengan jadual aktiviti anak di sekolah? Ada yang lupa tarikh ulang tahun anak dan perkahwinan?
1. Wunderlist
Gara-gara sibuk dengan urusan kerja, pastinya ada yang terlupa tentang urusan anak di sekolah, tarikh hari jadi atau ulang tahun perkahwinan.
Oleh itu, aplikasi Wunderlist yang sudah dimuat turun lebih 10 juta pengguna itu sangat sesuai untuk mereka.
Aplikasi mesra pengguna itu membantu pengguna mengatur jadual harian dengan notifikasi sebagai peringatan terhadap aktiviti atau tarikh penting yang perlu diingati.
Dengan Wunderlist, si ibu kini sudah memiliki pembantu peribadi maya!
2. Daily Expenses 2: Personal Finance
Wanita yang bijak menguruskan kewangan pastinya menjadi dambaan jejaka lebih-lebih lagi selepas berumah tangga.
Jadi, aplikasi pengurusan perbelanjaan yang cukup popular dengan lebih 87,000 ulasan itu sesuai untuk dijadikan rakan maya agar dapat memantau aliran keluar masuk wang.
Hanya dikenakan caj sebanyak RM1.99 per item, pengguna boleh mencipta buku lejer online dengan keselamatan kata kunci untuk melindungi maklumat peribadi.
Selain itu, aplikasi tersebut turut membantu membuat anggaran perbelanjaan untuk sebulan supaya wang yang lebih boleh disimpan untuk rancangan berlibur di dalam atau luar negara.
Menariknya aplikasi itu, ia memiliki pelbagai bahasa seperti Jerman, Perancis, English, Itali, Ukrain dan Indonesia yang boleh dipilih pengguna.
3. First Aid and Emergency Techniques
Aplikasi bantuan pertolongan cemas itu penting untuk dimuat turun pengguna tidak kira wanita bekerjaya atau pun suri rumah.
Ini kerana wanita biasanya mudah panik berdepan situasi kecemasan lebih-lebih lagi melibatkan anak yang masih kecil.
Siapa pun pasti akan menjadi tidak keruan apabila melihat anak berhenti bernafas atau terluka, bukan?
Oleh itu, dicadangkan supaya aplikasi seperti itu wajib ada dalam telefon pintar bagi membantu memberikan arahan awal sebelum menunggu bantuan kecemasan.
Semudah ABC, arahan yang diberikan untuk rawatan kecemasan CPR juga agak mudah selain membantu memberikan tip penting jika berdepan situasi kecemasan seperti kemalangan atau kebakaran.
4. 7 Minute Workout
Siapa kata wanita bekerjaya tiada masa untuk workout?
Dengan aplikasi 7 minute workout pastinya memberi peluang kepada mereka untuk bersenam walaupun hanya di dalam rumah.
Rutin mudah yang dikongsi di dalam aplikasi berkenaa mudah difahami.
Walaupun kesuntukan masa, golongan wanita bekerjaya boleh mencuri masa hanya tujuh minit untuk amal gaya hidup sihat.
Jangan culas kerana aplikasi canggih itu merekod setiap latihan yang dibuat untuk memastikan pengguma kekal fit walaupun sibuk dengan urusan harian.
Jom jadikan aplikasi yang diperkenalkan sejak 13 November 2018 itu sebagai jurulatih peribadi maya untuk membakar kalori, cabaran workout dan empat minggu program untuk golongan pro!
5. Elevate: Brain Training
Bagi peminat permainan minda, bolehlah memuat turun aplikasi yang penuh dengan pelbagai teknik berbeza yang bertujuan untuk melatih fokus, daya ingatan dan meningkatkan kecekapan.
Boleh juga asah bakat anda dalam kemampuan berbahasa dan matematik.
Lebih menarik, aplikasi yang telah digunakan lebih 5 juta pengguna itu mampu menilai kelemahan diri pemain untuk diperbaiki.
Ada lebih 35 permainan dalam app yang turut mendapat Google's Editors' Choice dengan tawaran percuma selama 14 hari.