KUANTAN - Bendahari Agung PKR yang baru dilantik Lee Chean Chung meminta semua yang berkenaan memberi ruang secukupnya kepada Presiden parti Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mencorak kepimpinan PKR mengikut acuan tersendiri.
Sambil menggesa semua pihak menghormati keputusan Anwar berhubung pelantikan anggota Majlis Pimpinan Pusat, Chean Chung yang juga Adun Semambu, berkata beliau secara peribadi melihat pelantikan yang dibuat Presiden PKR itu bersifat menyeluruh tanpa memihat mana-mana ‘kem’.
Iklan
Iklan
"Kita kena matang dalam perkara ini. Cukuplah membuat komen atau meluahkan perasaan kerana musim pemilihan dan pilihan raya sudah berlalu dan sekarang adalah masa kita bekerja," katanya selepas melancarkan projek #KuantanBookExchange atau #KUBE di kedai Gunteng Barbershop di Indera Mahkota di sini, hari ini.
Lee mengulas kenyataan Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang meminta Anwar menilai semula pelantikan jawatan utama parti yang pada pandangannya tidak mencerminkan prinsip ‘perwakilan yang adil dan saksama’.
Ditanya mengenai pelantikannya sebagai bendahari agung, Lee berkata beliau tidak menyangka diberi kepercayaan untuk memegang jawatan itu memandangkan pada usia 37 tahun beliau boleh dianggap"terlalu muda” untuk menjawat jawatan berkenaan berbanding penyandang-penyandang terdahulu.
Katanya pelantikan beliau juga memecah tradisi kerana selain faktor usia, mereka yang dilantik ke jawatan itu sebelum ini adalah Ahli Parlimen.- Bernama
Artikel Berkaitan