Kabinet setuju UMT, UniSZA bergabung

Iklan

SHAH ALAM - Jemaah menteri yang bermesyuarat pada 4 September lalu telah bersetuju secara prinsip berhubung penggabungan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Pejabat Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi Kementerian Pendidikan berkata, penggabungan itu merupakan salah satu transformasi penyampaian pendidikan tinggi dan ia perkara penting bagi memantapkan lagi keupayaan universiti dalam meningkatkan kedudukan sosio ekonomi selaras dengan lonjakan 10 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025.

Iklan
Iklan

"Inisiatif ini akan memacu pembangunan industri Terengganu di samping menangani persaingan sesama universiti untuk mendapatkan pelajar, kakitangan dan sumber. Penggabungan institusi adalah langkah wajar dilaksanakan bagi mempertingkatkan kualiti perkhidmatan dan memberi lebih nilai tambah kepada pelajar, fakulti serta komuniti setempat.

"Ia melalui penjajaran semula tenaga kepakaran universiti dan kemudahan infrastruktur sedia ada yang boleh diguna pakai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Iklan

Kenyataan tersebut turut menyebut, perkara sama dilaksanakan oleh universiti dan kolej di beberapa negara seperti University of Manchester serta University of Manchester Institute of Science and Technology (UMIST) di United Kingdom.

"Penggabungan institusi juga berlaku di Australia dan Amerika Syarikat di mana penggabungan institusi pendidikan tinggi dilaksanakan untuk meningkatkan tahap keberkesanan, jangkauan, nilai dan daya saing sesebuah institusi baharu.

Iklan

"Kementerian amat positif dengan cadangan penggabungan ini dan sedang menyediakan kerangka bagi pelaksanaannya," katanya.

Menurut kenyataan itu, sebuah jawatankuasa khas sedang dibentuk yang dianggotai oleh wakil daripada kalangan pegawai pentadbir, pensyarah, pelajar, pelbagai agensi, kementerian dan pihak berkepentingan bagi menggerakkan penggabungan ini yang dijangka mengambil masa selama enam bulan.