SABAK BERNAM - Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah meredah ombak menaiki bot bagi merasai sendiri pengalaman menangkap ikan di Bagan Nakhoda Omar (BNO) di sini petang tadi.
Baginda bersama rombongan orang-orang besar istana tiba di Jeti Nelayan BNO pada jam 3.40 petang.
Baginda kemudian mendengar taklimat khas daripada Jabatan Perikanan mengenai aktiviti penangkapan ikan di kawasan itu.
Baginda menarik perhatian tetamu dan agensi kerajaan yang hadir apabila baginda bersama rombongannya dan agensi kerajaan terlibat turun ke laut selepas mendengar taklimat.
Sebanyak sembilan bot termasuk bot fiber dinaiki baginda menyusuri perjalanan sejauh dua batu nautika dari jeti BNO.
Baginda yang tiba di tengah laut menunjukkan kemahiran dengan menaikkan hasil laut menggunakan pukat hanyut.
Baginda menghabiskan masa kira-kira sejam memukat ikan di kawasan terbabit dan tiba semula di jeti pada jam 5.20 petang.
Tengku Amir Shah dijadualkan berada selama tiga hari di daerah ini pada Program Jelajah Sabak Bernam bermula hari ini.