TAIPING – Jenazah jurukamera Bernama News Channel (BNC), Muhammad Ariffin, 62, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Senduk, Batu 8 Bendang Siam, Changkat Jering dekat sini selepas solat Zohor, hari ini.
Terdahulu jenazah Allahyarham Muhammad disembahyangkan di rumahnya sebelum dikebumikan pada pukul 3.30 petang.
Iklan
Iklan
Anak sulung lelaki Allahyarham, Irnul Hulaifah, 34, berkata, bapanya menghembuskan nafas terakhir di hadapan ahli keluarga di Hospital Taiping pada pukul 1.25 pagi tadi selepas dimasukkan ke wad 26 Dis lalu kerana penyakit pneumonia.
"Bapa saya menghidap jangkitan paru-paru sejak lima tahun lepas, tapi beberapa bulan kebelakangan ini kesihatannya mula kritikal dan menghembuskan nafas terakhir pagi ini,” katanya ketika ditemui di Kampung Senduk.
Muhammad yang telah lebih 10 tahun berkhidmat dengan BNC yang sebelum ini dikenali sebagai Bernama TV meninggalkan isteri Hatipah Manap, 57, dan empat anak berumur 17 hingga 34 tahun.
Irnul Hulaifah berkata antara pesanan terakhir ayahnya adalah mengingatkannya supaya bekerja dengan baik.
"Saya mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan setugas Allahyarham yang banyak membantu semasa hayatnya,” katanya. - Bernama