SUMATERA - Ribuan penduduk Indonesia melakukan solat memohon hujan di bandar terjejas teruk akibat jerebu di Pulau Sumatera dan Borneo semalam, berikutan kebakaran hutan pada musim kemarau kini semakin buruk.
Menurut laporan Antara News, kebanyakan penduduk yang turut dilihat memakai topeng wajah untuk melindungi diri daripada jerebu tebal.
"Kami melakukan segala yang termampu, kini kami memohon doa kepada ALLAH,” kata Timbalan Gabenor Wilayah, Edy Nasution.
Solat sama turut diadakan di bandar di Kalimantan di mana kualiti udara berada pada tahap tidak sihat selain sekolah diarah tutup.
Kebakaran hutan besar melanda sebahagian besar Sumatera dan Pulau Borneo sejak lebih sebulan lalu dan kerajaan turut mengerahkan 9,000 anggota tentera dan polis bersama 37 helikopter serta 239 juta liter bom air untuk menangani krisis tersebut.
Sebelum ini, negara jiran Indonesia sering mengadu tentang jerebu teruk yang berpunca dengan tindakan pembakaran ladang kelapa sawit dan pulpa untuk tujuan pembersihan kawasan pertanian.
Tetapi, Indonesia pada awal minggu lalu menegaskan mereka tidak lagi boleh dipersalahkan kerana titik panas turut dikesan melalui satelit di beberapa negara jiran.
Jabatan Meteorologi memberitahu beberapa bahagian di Asia Tenggara kini berdepan keadaan kering luar biasa dan menerima taburan hujan yang sedikit kerana corak cuaca El Nino.
Sejak pagi semalam, sebanyak 5,062 titik panas dikesan di enam wilayah.
Kes jenayah turut dilancarkan terhadap 175 individu di beberapa lokasi berbeza di Indonesia kerana disyaki memulakan kebakaran dan empat syarikat minyak sawit juga berdepan dakwaan kecuaian. - Agensi