PELUMBA Malaysia Adam Norrodin sudah bersedia untuk membuat penampilan sulung dalam Kejohanan Dunia Moto2 bagi Petronas Sprinta Racing Moto2 menggantikan Khairul Idham Pawi di litar antarabangsa Misano World Circuit Marco Simoncelli, Itali hujung minggu ini.
Menurut kenyataan pasukan itu, pelumba berumur 21 tahun yang kembali menyertai pasukan Petronas Sprinta Racing, pasukan yang memang sudah biasa baginya selepas tiga musim beraksi dalam kelas Moto3 dari 2016 sehingga 2018, berharap beliau akan dapat menyerlahkan kemahiran sebenarnya di perlumaan itu nanti.
Dengan pengalaman dalam kelas Moto2 di European Moto2 Championsip musim ini bagi SIC Junior ZK Racing, hujung minggu ini pastinya menjanjikan cabaran getir baginya apabila berhadapan dengan jaguh-jaguh kejohanan dunia, bersama dengan enjin baru Moto2, Triumph buat kali pertama.
Adam yang menyifatkan Litar Misano sebagai trek yang sukar, mengakui bahawa trek itu menjadi tempat baginya untuk mempelajari banyak perkara, dan gelanggang terbaik untuk beliau membuat penampilan kali pertama.
"Saya terima banyak ucapan tahniah kerana mendapat peluang ini, membuattkan saya merasa sangat bersyukur.
"Saya sudah tonton perlumbaan tahun lepas berkali-kali di samping beberapa perlumbaan tahun ini, dan saya juga ada berbual dengan beberapa pelumba lain supaya saya dapat memahami bagaimana enjin Triumph bekerja,” tambahnya.
Adam berkata beliau tidak menaruh harapan tinggi dalam perlumbaan ini dan memberi tekanan kepada diri sendiri, namun beliau menetapkan sasaran untuk mempelajari sesuatu dalam setiap sesi, di samping kekal konsisten dalam perlumbaan.
"Jika dapat keputusan baik, ia satu bonus,” katanya. - Bernama