PUTRAJAYA - Mesyuarat Kabinet hari ini membincangkan usaha-usaha kerajaan untuk menangani kesan jerebu yang melanda Malaysia pada masa kini, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Kita bincangkan tentang cara-cara mengurangkan jerebu," katanya ketika ditemui media pada Sambutan Ulang Tahun ke-35 Universiti Binary di sini malam ini.
Dr Mahathir turut ditanya mengenai kenyataan Menteri Alam Sekitar dan Perhutanan Indonesia, Siti Nurbaya yang mendakwa jerebu yang menyelubungi Malaysia bukan dari negara itu, sebaliknya berasal dari Sarawak.
"Itu dia punya komen, kita tidak boleh kata apalah," kata Dr Mahathir.
Jerebu mulai melanda beberapa negeri di Malaysia sejak 5 September lepas, yang antaranya mengakibatkan ratusan sekolah di Sarawak diarahkan tutup.
Menurut kenyataan Jabatan Alam Sekitar (JAS) hari ini, kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia masih menyebabkan jerebu merentas sempadan dan memberi kesan kepada peningkatan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan di sepanjang pantai barat Semenanjung Malaysia dan bahagian barat Sarawak.
Sementara itu, Dr Mahathir menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Presiden ketiga Indonesia Allahyarham Bacharuddin Jusuf Habibie atau BJ Habibie yang meninggal dunia hari ini.
"Dia kawan baik saya, saya berasa sedih tapi dah lama dia sakit," katanya.
Dr Mahathir berkata beliau tidak dapat menziarah jenazah BJ Habibie kerana perlu menghadiri acara lain esok.
BJ Habibie meninggal dunia di Rumah Sakit (Hospital) Pusat Angkatan Darat Gatot Soebroto berikutan pelbagai masalah kesihatan yang dialaminya.
BJ Habibie, 83, adalah presiden Indonesia ketiga, menggantikan Presiden Soeharto dan menjawat jawatan itu bermula 21 Mei 1998 sehingga 20 Okt 1999. - Bernama