LEGENDA badminton negara, Datuk Lee Chong Wei menasihati pemain muda negara, Lee Zii Jia untuk mendapatkan rehat secukupnya supaya beliau boleh kekal fokus ketika perlawanan.
Chong Wei percaya Zii Jia kemungkinan penat dari segi mental sehingga mengganggu fokusnya ekoran kejohanan berterusan bermula awal tahun ini sehingga sekarang.
"Zii Jia bertungkus lumus memang biasa, masa saya umur dia pun saya bertungkus lumus juga. Dari Januari sampai sekarang beliau sertai kejohanan. Dia juga manusia biasa, badan dia boleh tahan tapi mental letih juga. Zii Jia kena rehat dan kaji balik persembahan dia.
"Bila mental penat, tidak boleh fikir dan tidak boleh fokus. Saya dulu ada masalah ini juga. Tidak semua kejohanan boleh tunjukkan prestasi baik," katanya yang sudah berbincang dengan jurulatih perseorangan lelaki negara, Hendrawan untuk membantu Zii Jia.
Untuk rekod, Zii Jia gagal mempertahankan kejuaraan di Terbuka Taiwan selepas tewas di pusingan kedua kepada pemain Indonesia, Shesar Hiren Rhustavito.
Pemain berusia 21 tahun itu seterusnya akan menyertai Terbuka China di Jiangsu, China pada 17 hingga 22 September ini.
Pada masa sama, Chong Wei berharap Zii Jia akan mencapai tahap terbaiknya pada usia 25 tahun seperti dirinya.
"Saya harap pada Sukan Olimpik 2020, Zii Jia boleh dapat pingat tapi jika tidak dapat fokus, mungkin pada tahun 2024. Masa itu beliau sudah matang. Dia kena bantu diri sendiri dan pada masa sama, saya akan kongsi pengalaman saya beraksi di Sukan Olimpik dengan dia," katanya.
Chong Wei pemenang pingat perak Sukan Olimpik di Beijing pada 2008, London (2012) dan Rio de Janeiro (2016). -Bernama