JOHOR Tigris diingatkan supaya tidak meletakkan diri mereka dalam zon selesa selepas mempamerkan momentum positif pada aksi minggu pertama Liga Sepak Takraw ( STL) 2019 minggu lalu.
Ketua Jurulatih Johor Tigris, Ahmad Jais Baharun sebaliknya menuntut pemain kelab dari selatan tanah air itu memperbaiki setiap kelemahan yang ada pada dua perlawanan sebelum ini supaya lebih bersedia berdepan lawan yang lebih mencabar.
"Alhamdulillah, permulaan yang baik untuk Johor Tigris pada dua perlawanan awal sebagai motivasi kepada pemain untuk bersedia berdepan lawan yang lebih mencabar pada perlawanan seterusnya.
"Cuma saya tidak mahu pemain Johor Tigris terbuai dan berada dalam zon selesa dengan momentum dua kemenangan ini kerana kita kena ingat bahawa saingan liga masih lagi panjang,” katanya ketika dihubungi Sukan Sinar.
Tambah Ahmad Jais untuk persediaan minggu kedua pula beliau akan memperkemaskan lagi corak permainan anak-anak buahnya kerana terdapat beberapa penambahbaikan yang perlu dilakukan bagi memantapkan saingan mereka.
Tegasnya, Johor Tigris tiada pilihan kecuali memperbaiki beberapa kelemahan yang terdapat pada perlawanan sebelum ini supaya mereka lebih kompetitif bersaing dengan lawan yang mempunyai nama besar.
"Saya akui masih berlaku beberapa kesilapan mudah dilakukan pemain Johor Tigris yang secara tidak langsung mengganggu sedikit momentum pasukan dalam mengutip mata pada minggu pertama.
"Menjelang cabaran minggu kedua kita akan perbaiki lagi variasi serangan supaya lebih mantap dengan menambah beberapa lagi elemen supaya kita mampu kekal konsisten memberikan saingan sengit,” katanya yang berharap pemain Johor Tigris akan memberikan aksi terbaik pada perlawanan seterusnya dengan mengekalkan momentum positif minggu pertama beraksi tanpa tekanan.
Untuk rekod, Johor Tigris menyingkap tirai saingan STL 2019 dengan langkah kanan apabila melakar kemenangan 2-0 ke atas juara bertahan Penang Black Panthers diikuti kemenangan 2-0 ke atas Kelantan Warriors pada aksi di Stadium MABA, Kuala Lumpur.