Bekerja hingga usia 65 tahun mampu tingkat produktiviti

Iklan
Gambar hiasan

SHAH ALAM - Kemampuan seorang itu bekerja sehingga usia 65 tahun sebenarnya terletak pada diri individu itu sendiri dan bidang pekerjaan yang dilakukan.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam Universiti Malaya (UM), Dr Marzuki Isahak berkata, keupayaan individu itu terletak pada kerjaya yang diceburinya walaupun usia sudah lanjut.

Iklan
Iklan

Menurutnya, jika individu lanjut usia itu bekerja dalam bidang profesional dan di pejabat, ia sebenarnya meningkatkan produktiviti.

"Jika golongan ini terlibat dalam pekerjaan berat dan industri mungkin sebaliknya kerana ia melibatkan kerja berat dan memerlukan kerahan tenaga.

Iklan

"Maka jika golongan usia 65 tahun masih bekerja dalam bidang yang bersesuaian sebenarnya ia meningkatkan keyakinan diri mereka berbanding dengan tidak bekerja dan hanya duduk di rumah," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini semalam.

Beliau berkata, tidak menjadi kesalahan jika golongan lanjut usia ini bekerja kerana buah fikiran mereka masih bernas.

Iklan

Menurutnya, walaupun golongan ini sebenarnya boleh memilih untuk bersara awal namun tuntutan kehidupan dan kos hidup yang makin meningkat juga menyebabkan ramai di antara mereka memilih untuk terus bekerja.

"Jika tidak bekerja, simpanan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pun tak cukup nak tampung belanja yang kian meningkat.

"Jadi jika masih berkemampuan tidak salah jika mereka bekerja dan ia tidak memberi kesan mudarat cuma perlulah positif dan bekerja dalam keadaan yang baik dan tenang," katanya.

Dr Marzuki berkata, majikan juga perlu memastikan tempat kerja yang sihat dan selamat untuk semua golongan pekerja.

Sementara itu ketika ditanya mengenai kenyataan pakar psikologi mengenai pencen awal menyebabkan individu berisiko hadapi nyanyuk dan penyakit lain, beliau menyangkal kenyataan itu.

"Bukannya pencen awal undang nyanyuk sebenarnya jika kita terus bekerja boleh membuatkan minda lebih positif.

"Ini kerana jika terus bekerja ia akan mewujudkan suasana sihat kerana individu itu bergaul dengan pelbagai kelompok," katanya.