PUTRAJAYA - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mencemar duli menyempurnakan Istiadat Mengarak Panji-Panji sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda yang berlangsung di Dataran Pahlawan, Presint 1 di sini hari ini.
Sebaik keberangkatan tiba jam 8.30 pagi, Istiadat Mengarak Panji-Panji dimulakan dengan perbarisan mempersembahkan Hormat Diraja Negaraku diikuti 21 das tembakan meriam oleh 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja diketuai Leftenan Kolonel Mohd Asri Che Wil.
Di ruang udara pula, lima helikopter diketuai Mejar Abdul Khalid Zainal Abidin membuat formasi terbang lintas hormat dengan membawa Jalur Gemilang, Bendera Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Istiadat itu turut dihadiri oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali; Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dan isteri, Normah Alwi; Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad.
Al-Sultan Abdullah turut perkenan melakukan pemeriksaan perbarisan diikuti pembukaan medan oleh pancaragam dan kemudian Pengiring Panji-Panji mengambil Panji-Panji Yang di-Pertuan Agong disusuli lagu Negaraku (naskhah ringkas) dan berlangsung Perarakan Panji-Panji Yang di-Pertuan Agong.
Lima panji yang diarak adalah Panji-Panji Rejimen Askar Melayu, Rejimen Renjer Diraja, Kor Armor Diraja, TLDM dan Panji-Panji TUDM.
Seramai 22 pegawai dan 550 anggota lain-lain pangkat diketuai Pegawai Memerintah Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu Diraja, Leftenan Kolonel Ahmad Muzaimi Mohd Ali.
Panji-panji adalah suatu penghormatan negara yang dianugerahkan oleh Yang di-Pertuan Agong kepada Rejimen/Kor dari Perkhidmatan Tentera Darat, Perkhidmatan Tentera Laut dan Perkhidmatan Tentera Udara.
Turut berlangsung, perbarisan berjalan laju dalam tempoh perlahan dan cepat, perbarisan mara menghadap serta laungan Daulat Tuanku sebanyak tiga kali.
Istiadat diakhiri dengan bacaan doa, nyanyian lagu Negaraku bersekali lintas helikopter ATM.
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah kemudian berangkat meninggalkan majlis pada jam 9.30 pagi.