PARIT - Ibu kepada tiga anak yang ditahan selepas didapati mencuri barang dalam sebuah pasar raya di Bandar Universiti, Seri Iskandar, kelmarin berjanji tidak akan mengulangi lagi perbuatan itu.
Wanita berusia 31 tahun itu berkata, kejadian pada jam 12.40 tengah hari, Selasa lepas akan menjadi yang pertama dan terakhir dilakukannya.
"Saya janji tak akan mencuri lagi, cukuplah sekali. Ia sudah buat saya terkesan terutama apabila anak-anak juga terpaksa menanggung akibatnya.
"Sepanjang saya di lokap, siapa yang nak jaga mereka? Macam mana makan dan tidur mereka? Memikirkan itu saja buat hati saya tidak tenang dan insaf," katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Dia berkata, dalam kejadian itu, dia nekad bertindak sedemikian untuk memenuhi keinginan anak lelaki sulungnya yang teringin makan daging masak merah.
Bagaimanapun katanya, duit berbaki hanyalah RM24 dan tidak cukup digunakan hingga akhir bulan sebelum mendapat upah hasil mengasuh anak orang.
"Sudah beberapa hari dia kata nak makan daging masak merah tetapi dia juga ada tanya sama ada saya punya wang yang cukup atau tidak.
"Saya fikir bila dapat upah mengasuh nanti bolehlah beli barang memasak tetapi saya tak sampai hati bila dia bertanyakan lagi perkara sama malam Isnin lalu," katanya.
Dia bersyukur kerana dibebaskan tanpa sebarang pertuduhan dan dalam masa sama, terharu serta berterima kasih atas keprihatinan orang ramai terhadap keadaan keluarganya.
"Salah tetap salah dan saya tahu perbuatan itu salah, saya sungguh menyesal kerana terlalu ikutkan perasaan," katanya.
Wanita itu yang dia kini dalam proses penceraian selepas digantung tak bertali berkata, fokusnya kini untuk menjana pendapatan sampingan bagi menampung kehidupan bersama tiga anaknya masing-masing berusia 4, 6 dan 10 tahun.
"Dalam keadaan ekonomi sekarang, upah mengasuh RM600 sebulan memang tak cukup, yuran tadika anak juga selalu tertangguh dan bayaran kelas mengaji anak juga sudah sembilan bulan tak berbayar.
"Saya bersyukur dikurniakan kebolehan memasak, bolehlah saya cuba buat niaga makanan kecil-kecilan seperti ambil tempahan buat kuih. Raya lepas saya ada berniaga popia simpul, dapatlah juga RM400 untuk belanja raya anak-anak," katanya.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan wanita itu ditahan kerana mencuri beberapa barangan antaranya sabun mandi, satu paket ayam mentah, dua paket daging, satu kiub tulang ayam dan serbuk lada hitam yang dianggarkan bernilai hampir RM80.
Tangkapan awal dilakukan pihak pengawal keselamatan pasar raya, semalam sebelum wanita terbabit diserahkan kepada polis.
Kisah wanita terbabit kemudiannya tular dan ramai pihak tampil membela mahu menghulurkan sumbangan.
Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perak, Ruhaini Zawawi berkata, pihaknya telah meluluskan Bantuan Kanak-kanak sebanyak RM300 sebulan yang akan mula dibayar bulan depan.
"Kita turut menyerahkan bantuan tunai segera sebanyak RM300 untuk membantu keperluan keluarga terbabit," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN Ibu tiga anak curi di pasar raya dibebaskan
Mencuri kerana tiada duit beli barang dapur