Jual MyKad: Kerajaan didesak dedah bilangan penerima terlibat

Iklan
Abd Razak Abd Rahman

SHAH ALAM - Kerajaan digesa untuk mendedahkan bilangan penduduk yang mendapat status sebagai penduduk tetap mengikut tahun, asal dan bangsa mereka.

Naib Ketua UMNO Bahagian Kepong, Abd Razak Abd Rahman berkata, kerajaan perlu melakukan siasatan secara menyeluruh selepas sindiket menjual MyKad kepada warga China terbongkar.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) perlu membuat pemeriksaan bagi memastikan penerima MyKad mempunyai jati diri sebagai rakyat Malaysia, baik dari segi bahasa, pergaulan dan sumbangan kepada negara.

Katanya, penjualan MyKad kepada pendatang meresahkan masyarakat terhadap integriti pihak berkuasa dalam menangani isu tersebut.

Iklan

"Ini jelas memberi kesan kepada pemilihan kerajaan ketika pilihan raya umum (PRU) yang lalu dan akan datang.

"Semak semula dan nilai kembali status mereka yang dikurniakan MyKad ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Iklan

Abd Razak berkata, kerajaan juga perlu membongkar kegiatan yang mencemar kedaulatan negara dan memastikan mereka yang terlibat ditarik balik kerakyatan selain dikenakan hukuman maksimum.

"Pihak yang sanggup menjual kerakyatan adalah ciri-ciri pengkhianatan paling bangsat terhadap negara," katanya.

Sementara itu, seorang pegawai kanan di JPN akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Georgetown, Pulau Pinang hari ini berhubung dakwaan terlibat dalam sindiket menjual MyKad kepada warga China.

Difahamkan, lelaki berumur 40-an itu sebelum ini ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan turut berdepan beberapa pertuduhan lain.

Sebelum ini, media turut melaporkan beberapa individu termasuk pegawai kerajaan ditahan polis susulan pembongkaran sindiket itu.

Selain penahanan di negeri berkenaan, operasi khas yang dilancarkan minggu lalu turut menahan anggota dan pegawai jabatan sama di Putrajaya mengikut akta yang sama.

Penahanan itu susulan laporan dibuat anggota Jabatan Imigresen negeri yang mengesan terdapat wanita warga China berusia antara 25 hingga 30 tahun yang memiliki MyKad sah cuba membuat pasport Malaysia.

ARTIKEL BERKAITAN: Jual MyKad: SPRM akan siasat jika ada maklumat jelas